Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

03 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

24

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apa rancangan Kementerian untuk melindungi dan mengurus Kompleks Hutan Ulu Muda. Dalam usaha melindungi kepelbagaian biologi dan khazanah hutan Malaysia, pihak berkuasa persekutuan dan negeri mesti bekerjasama serta berganding bahu. Mengapa pihak berkuasa persekutuan melengah-lengahkan usaha Pemindahan Fiskal Ekologi (Ecological Fiscal Transfer) kepada pihak berkuasa negeri yang sedang giat melakukan program memulihara dan memelihara sumber alam semula jadinya.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, luas keseluruhan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda ialah 106,418 hektar dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah. Daripada jumlah tersebut seluas 16,229 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air manakala seluas 11,118 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri di bawah Seksyen 10 (1) dalam akta yang sama.

​2. Bagi membantu Kerajaan Negeri melindungi dan menguruskan kawasan ini, permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) telah dikemukakan untuk pertimbangan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan melibatkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti seperti berikut:

(i) Penyediaan pelan tindakan pengurusan Taman Negeri Ulu Muda;

(ii) Pembangunan infrastruktur yang berkaitan; dan

(iii) Pembangunan modal insan serta peningkatan kesedaran masyarakat.

3. Mengenai pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT), Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta di bawah Bajet 2019 bagi menggalakkan Kerajaan Negeri melindungi dan memulihara kawasan perlindungan (protected areas - PA).

4. Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 27 Mei 2019 telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tersebut bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) untuk melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta membantu Negeri-Negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program/projek bagi meningkatkan hasil negeri. Pengagihan peruntukan kepada Kerajaan Negeri telah dilaksanakan mulai Mei 2019 dan telahpun selesai. 

5. Kementerian telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan EFT pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, tiada peruntukan diluluskan oleh MOF untuk EFT pada tahun 2020. Kementerian akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi meneruskan inisiatif EFT dalam bajet 2021. Kementerian juga akan mencadangkan formula pengagihan yang lebih komprehensif dengan memberi penekanan kepada kriteria kualiti pengurusan kawasan perlindungan dan usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menambah kawasan perlindungan yang baharu.

Sekian, terima kasih.

Attachments