Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

03 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

41

Soalan

TUAN PRABAKARAN A/L M PARAMESWARAN [ BATU ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan mengapa berlaku peningkatan drastik terhadap cas penggunaan elektrik sepanjang tempoh PKP dan mengapa tidak dibuka satu ruangan untuk dimuat naik imej bacaan meter elektrik melalui aplikasi myTNB bagi mengatasi masalah “tiada pekerja dibenarkan bekerja di lapangan" sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP. ​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Punca berlakunya peningkatan bil elektrik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi pengguna domestik adalah antara lainnya, disebabkan faktor-faktor berikut: 

(i) Penggunaan elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh PKP telah meningkat di antara 20 hingga 50%. Keadaan ini berlaku kerana rakyat telah mematuhi perintah Kerajaan untuk berada di rumah masing-masing dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP kecuali pekerja-pekerja dalam sektor-sektor yang menyediakan  perkhidmatan penting kepada rakyat; dan

(ii) Operasi bacaan meter elektrik secara fizikal telah dihentikan sepanjang tempoh PKP iaitu bagi tempoh 20 Mac 2020 sehingga 18 Mei 2020. Bacaan bil dibuat secara anggaran bagi tempoh Mac, April dan Mei 2020 yang menyebabkan bil elektrik bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. Aktiviti bacaan meter elektrik oleh semua utiliti elektrik di Malaysia telah dihentikan secara sementara bermula 18 Mac 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menjaga kebajikan pembaca meter dan memutuskan rantaian serta membendung penularan wabak Covid-19. Langkah yang sama juga telah diambil oleh pihak utiliti lain di rantau ini seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Indonesia.

2. Berhubung cadangan Ahli Yang Berhormat, sebenarnya pihak TNB telah menawarkan perkhidmatan Self Meter Reading (SMR) kepada pengguna domestik sejak Oktober 2015. Melalui skim ini, pengguna hanya perlu menghantar imej bacaan meter melalui aplikasi myTNB atau portal myTNB untuk membolehkan pihak TNB mengeluarkan bil bacaan sebenar. Pada ketika ini, terdapat sekitar 15,000 pengguna yang telah berdaftar di bawah SMR.

Sekian, terima kasih.

Attachments