Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

06 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

4

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [KUALA LANGAT] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam proses konservasi biodiversiti pokok-pokok hutan asli daripada ancaman kepupusan serta nyatakan jumlah liputan hutan simpan kekal di seluruh negara.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. ementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melaksanakan langkah-langkah dalam memulihara dan memelihara kawasan hutan melalui program-program berikut:

(i) Majlis Perhutanan Negara (MPN) ke-20 pada 26 September 2006 telah memutuskan supaya 32 spesies pokok buah-buahan hutan berkepentingan kepada fauna dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tidak boleh ditebang semasa aktiviti pengusaha hasilan hutan. Di samping itu, Majlis Biodiversiti Negara Ke-2 pada 4 Jun 2015 telah membuat keputusan yang sama di mana Kerajaan Negeri bersetuju untuk memelihara dan memulihara 32 spesies pokok buah-buahan tersebut dalam kawasan hutan Tanah Kerajaan yang hendak diusaha hasilkan;

(ii) melaksanakan usaha bagi menyelamatkan spesies-spesies hutan dari ancaman kepupusan dengan menubuhkan Bank Germplasma Negara di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN);

(iii) menjadikan kawasan FRIM sebagai habitat kepada 66 daripada 92 spesies dipterokarpa yang terancam. Senarai 92 spesies dipterokarpa terancam ini telah didokumentasikan dalam buku terbitan FRIM pada tahun 2010 iaitu Malaysia Plant Red List yang menyenaraikan semua spesies flora yang terancam;

(iv) melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies dipterokarpa terancam atau Critically Endangered yang berada dalam Hutan Simpanan Kekal dan tersenarai dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Treatened Species secara in-situ dan ex-situ. Kaedah in-situ yang dilaksanakan adalah melalui penubuhan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (High Conservation Value Forests). Pelaksanaan konservasi secara ex-situ juga dijalankan dengan penubuhan arboretum spesies pokok hutan yang terpilih terutamanya spesies dipterokarpa terancam bagi mengelakkan kepupusan spesies tersebut. Sehingga kini, 12 petak Arboretum pelbagai spesies telah ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dengan keluasan keseluruhan 666 hektar;

(v) bagi Spesies dipterokarpa sangat terancam yang berada di luar Hutan Simpanan Kekal, Majlis Biodiversiti Negara Ke-3 pada 9 Ogos 2016 telah memutuskan supaya kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia memelihara dan memulihara 10 spesies dipterokarpa yang dikategorikan sangat terancam dalam hutan Tanah Kerajaan dengan mewartakan kawasan yang terlibat sebagai mana-mana satu yang berikut:

a) Tapak Perlindungan (Protected Site) berdasarkan Perintah Pemeliharaan Pokok di bawah seksyen 35A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172]; atau

b) Tapak Warisan di bawah seksyen 24 Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]; atau

c) tan Simpanan Kekal (HSK) di bawah seksyen 7 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313];

(vi) menubuhkan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi atau High Conservation Value Forests bagi spesies Shorea kuantanensis (Damar Hitam) di Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Terengganu. Spesies ini dilaporkan telah pupus dalam Research Pamphlet No. 129 Malaysia Plant Red List Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae dan ditemui semula pada tahun 2014;

(vii) pelaksanaan Projek Central Forest Spine (CFS) yang bertujuan untuk membentuk satu rangkaian hutan perlindungan yang bersambung melalui pembentukan koridor ekologi bagi kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi, hidupan liar dan alam sekitar. Projek ini juga melibatkan restorasi semula kawasan-kawasan terosot dalam koridor ekologi dengan pelbagai pokok hutan termasuk pokok nadir khususnya yang berkepentingan kepada fauna. Sekaligus ini dapat mengkayakan kepelbagaian ekologi, menyediakan laluan bagi hidupan liar terutamanya di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai rangkaian ekologi CFS;

(viii) menguatkuasakan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] di seluruh negara bagi melindungi spesies pokok yang diklasifikasikan sebagai sebagai Rare, Threatened and Endangered species;

(ix) bekerjasama dengan The International Tropical Timber Organization and the Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora Secretariats (ITTO-CITES) bagi menangani isu pengusahasilan karas (Aquilaria malaccensis) yang kurang lestari di Semenanjung;

(x) melaksanakan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang bersesuaian di pesisiran pantai negara di seluruh negara;

(xi) mendokumentasikan kekayaan kepelbagaian biologi hutan yang terdapat dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia melalui penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan. Sehingga kini sebanyak 35 siri Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi dalam Hutan Simpanan Kekal yang merangkumi kawasan hutan darat, hutan paya laut dan hutan paya gambut; dan

(xii) mewujudkan pangkalan data atas talian bagi kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan di Malaysia melalui platform MyBIS yang turut mengandungi status pemuliharaan spesies tumbuhan terpilih.

Di Sabah, antara langkah-langkah yang telah dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Sabah adalah seperti berikut:

(i) mewartakan kawasan berhutan dalam kawasan tanah kerajaan sebagai kawasan hutan simpan untuk tujuan perlindungan dan konservasi alam sekitar serta pengekalan sumber air dan biodiversiti;

(ii) meningkatkan keluasan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Area - TPA) selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 iaitu meningkatkan keluasan TPA di seluruh Sabah kepada 30% menjelang tahun 2025;

(iii) melaksanakan projek Heart of Borneo di Sabah yang mengutamakan pemulihan koridor hutan;

(iv) menyediakan peta kawasan High Conservation Value (HCV) untuk membantu perancangan pembangunan dan rasionalisasi guna tanah berdasarkan amalan pengurusan terbaik;

(v) melaksanakan rawatan sivikultur dan tanaman mengaya seluas 15,000 hektar setiap tahun untuk memulihkan kawasan hutan terosot dan meningkatkan fungsi-fungsi ekologi hutan; dan

(vi) membukukan spesies pokok endemik di Sabah dalam Sabah Plant Red List Endemic Tree Species untuk tujuan rekod taburan dan menilai status pemuliharaan berdasarkan International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List Assessment Criteria.

Manakala di Sarawak, antara langkah-langkah yang telah dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak adalah seperti berikut:

(i) melindungi spesies yang diklasifikasikan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 sebagai spesies terlindung (protected species) dan spesies terlindung sepenuhnya (totally protected species);

(ii) memelihara spesies-spesies terancam di kawasan High Conservation Value Forest melalui Forest Management Unit;

(iii) melaksanakan projek Heart of Borneo di Sarawak yang mengutamakan pemulihan koridor hutan;

(iv) bekerjasama dengan universiti-universiti awam dan swasta untuk menjalankan kajian mengenai spesies-spesies pokok terancam melalui penganjuran Ekspedisi Saintifik; dan

(v) menjalankan kajian mengenai spesies pokok Ramin “Non Detriment Findings of Gonystylus bancanus (Ramin) in Permanent Forest Estate and  Totally Protected Area in Sarawak yang dibiayai dibawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11.

2. Mengenai keluasan kawasan berhutan negara, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan kira-kira 18.27 juta hektar (55.3%) kawasan tanah di bawah litupan hutan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11.67 juta hektar atau 35.3% adalah dikategorikan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

​Sekian, terima kasih.

Attachments