Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

06 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

13

Soalan

TUAN HAJI WAN HASSAN BIN MOHD RAMLI [ DUNGUN ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan penjelasan rungutan rakyat terhadap isu bil TNB daripada Mac 2020 sehingga Mei 2020 dan apakah langkah membantu rakyat terhadap isu ini. ​​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Majoriti rungutan rakyat berkenaan bil elektrik bulan Mac hingga Mei 2020 adalah disebabkan pengguna tidak mendapat bil bacaan sebenar dalam tempoh tersebut. Bacaan sebenar tidak dapat dibuat kerana operasi bacaan meter elektrik secara fizikal telah dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari    20 Mac sehingga 18 Mei 2020.

2. Ini adalah selaras dengan prosedur Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menjaga kebajikan pembaca meter dan membendung penularan wabak COVID-19. Dalam hal ini, bacaan bil dibuat secara anggaran bagi tempoh Mac, April dan Mei 2020 yang menyebabkan bil elektrik bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. Langkah yang sama juga telah diambil oleh pihak utiliti lain di rantau ini seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Indonesia.

3. Bagi membantu pengguna meringankan beban sara hidup rakyat dalam tempoh PKP, Kerajaan telah mengumumkan pakej-pakej diskaun bil elektrik seperti berikut:

(i) Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) yang memberikan diskaun 15% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh April hingga September 2020 kepada pengguna perdagangan daripada enam sektor perniagaan iaitu pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan. Selain itu, diskaun 2% juga diberikan kepada semua pengguna industri dan perdagangan selain daripada enam sektor perniagaan tersebut  termasuk semua pengguna domestik seluruh Malaysia;

(ii) Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) adalah untuk menambah baik pakej PRE 2020 dengan pemberian diskaun bil elektrik di antara 2% hingga 50% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh April hingga September 2020 bagi pengguna domestik di Semenanjung sahaja; dan

(iii) Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) iaitu bil elektrik percuma sehingga RM77 sebulan untuk bulan April hingga Jun 2020 kepada semua pengguna domestik di Semenanjung yang melibatkan seramai 7.66 juta pengguna dan memperkenalkan diskaun tambahan sebanyak 8% kepada pengguna domestik dengan penggunaan 601 – 900 kWj sebulan;

(iv) pelanjutan diskaun di bawah pakej PRIHATIN sehingga 31 Disember 2020 termasuk diskaun tambahan kepada pengguna dengan penggunaan 601 – 900 kWj sebulan; dan

(v) penurunan surcaj kepada pengguna komersial dan industri sebanyak 2 sen/kWj di bawah semakan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020. Ia memberikan tambahan diskaun kepada pengguna komersial dan industri di antara 3% hingga 5.7% yang melibatkan kos sebanyak RM626.67 juta.

Kesemua pakej dan pemberian diskaun ini melibatkan kos sebanyak RM3.2 bilion yang memberi manfaat kepada 7.6 juta pengguna bagi tempoh April hingga Disember 2020.

Sekian, terima kasih.

Attachments