Tuan Yang di-Pertua,
1. Sumber dana bagi menampung pemberian diskaun penggunaan elektrik yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020), Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) adalah daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Berhad. Jumlah keseluruhan kos pemberian diskaun ini ialah sebanyak RM2.62 bilion.
2. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terdapat penurunan penggunaan elektrik bagi sektor perdagangan (komersial) dan sektor perindustrian. Secara purata, sektor perdagangan mencatatkan penurunan penggunaan elektrik sebanyak 31% manakala sektor perindustrian mencatatkan penurunan sebanyak 47%.
3. Pengguna domestik pula menunjukkan peningkatan penggunaan elektrik secara purata 23% berbanding sebelum PKP apabila pengguna berada di rumah untuk jangka masa yang lebih panjang dan menggunakan lebih banyak peralatan elektrik daripada kebiasaan.
4. Memandangkan majoriti sektor industri dan komersial ditutup semasa PKP, terdapat perubahan penggunaan elektrik dalam tempoh PKP yang menyebabkan jualan elektrik oleh TNB menurun kepada RM3.4 bilion secara purata bagi bulan April hingga Jun berbanding RM3.8 bilion sebelum tempoh PKP.
Sekian, terima kasih.