Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

06 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

30

Soalan

TUAN KESAVAN A/L SUBRAMANIAM [SUNGAI SIPUT] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah aduan berkaitan peningkatan bil elektrik selepas menjalankan semula bacaan meter selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apakah punca bil elektrik terlalu tinggi dan bagaimana Kementerian menjelaskan kaedah pengiraan penggunaan elektrik kepada rakyat.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Sebanyak 67,576 pertanyaan dan aduan berkaitan peningkatan bil elektrik telah diterima bagi tempoh Mei dan Jun 2020 oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas menjalankan semula bacaan meter bermula 15 Mei 2020 yang dihentikan bermula pada 20 Mac 2020.

2. Selain itu, sejumlah 3,551 aduan terhadap TNB bagi tempoh yang sama juga telah diterima oleh Suruhanjaya Tenaga berhubung peningkatan bil elektrik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pertanyaan dan aduan yang dikemukakan oleh pengguna ini adalah untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pengiraan bil elektrik mereka semasa tempoh PKP.

3. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan bil elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh PKP. Antaranya adalah seperti berikut:

(i) penggunaan elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh PKP telah meningkat di antara 20 hingga 50%. Keadaan ini berlaku kerana rakyat telah mematuhi perintah Kerajaan untuk berada di rumah masing-masing dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP kecuali pekerja-pekerja dalam sektor-sektor yang menyediakan  perkhidmatan penting kepada rakyat; dan 

(ii) operasi bacaan meter elektrik secara fizikal telah dihentikan sepanjang tempoh PKP iaitu bagi tempoh 20 Mac 2020 sehingga 18 Mei 2020. Bacaan bil dibuat secara anggaran bagi tempoh Mac, April dan Mei 2020 yang menyebabkan bil elektrik bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. 

4. Memang tidak dinafikan bahawa pembacaan bil secara anggaran ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna memandangkan ini merupakan kali pertama TNB melaksanakan pengebilan secara anggaran untuk tempoh 3 bulan berturut-turut. Tambahan pula, kaedah pengiraan ini agak sukar difahami oleh sebahagian besar rakyat yang menyebabkan timbulnya ketidakpuasan hati dan seterusnya menyebabkan isu peningkatan bil secara mendadak menjadi tular di media sosial. Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini bahawa kaedah pengiraan yang diguna pakai oleh TNB telah disahkan dan diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai badan kawal selia industri bekalan elektrik negara. Kaedah yang sama juga diguna pakai oleh utiliti negara lain yang telah menghentikan bacaan bil secara fizikal dalam menangani penularan wabak COVID-19. 

5. Bagi membantu pengguna memahami kaedah pengiraan bil elektrik ini, pihak Kerajaan bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB telah memberi penjelasan melalui pelbagai kaedah menggunakan saluran media elektronik, media cetak dan media sosial. 

Sekian, terima kasih.

Attachments