Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

06 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

46

Soalan

PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [PERMATANG PAUH] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan:

a) rancangan Kementerian memberi status Taman Negeri kepada Ulu Muda demi memelihara sumber air 4.09 juta penduduk Zon Utara daripada impak pembalakan tidak terkawal; dan

b) ​inisiatif Kementerian membantu implikasi yang terpaksa dihadapi oleh Kerajaan negeri seperti bayaran ganti rugi.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkara-perkara berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan hanya terhad untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal, latihan serta menjalankan penyelidikan berkaitan perhutanan.

2. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, luas keseluruhan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda ialah 106,418 hektar dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah pada tahun 1932 dan bakinya pada tahun 2013 melalui Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman no.380 bertarikh 24 September 1932 dan Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman no.1342 bertarikh 17 Januari 2013.

3. Daripada jumlah tersebut seluas 16,229 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air (Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman no.127 bertarikh 13 Mac 2008 dan Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman no.341 bertarikh 10 Mei 2018) manakala seluas 11,118 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri (Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman no. 341 bertarikh 10 Mei 2018) di bawah Seksyen 10 (1) dalam akta yang sama.

4. Bagi membantu Kerajaan Negeri melindungi dan menguruskan kawasan Ulu Muda, permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) telah dikemukakan untuk pertimbangan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan melibatkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti seperti berikut:

(i) penyediaan pelan tindakan pengurusan Taman Negeri Ulu Muda;

(ii) pembangunan infrastruktur yang berkaitan; dan

(iii) pembangunan modal insan serta peningkatan kesedaran masyarakat.

5. Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.83 juta di bawah Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada negeri Kedah di bawah Bajet 2019. Peruntukan ini disalurkan bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) untuk melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta membantu Negeri-Negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program/projek bagi meningkatkan hasil negeri, sebagaimana yang dipersetujui oleh Majlis Kewangan Negara yang telah bersidang pada 27 Mei 2019. Pengagihan peruntukan kepada Kerajaan Negeri telah dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan mulai Mei 2019 secara one-off.

6. Selain itu, Kementerian buat masa ini sedang mengenal pasti mekanisme yang sesuai bagi menjana pendapatan melalui potensi baharu selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD Plus dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) untuk mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pembalakan.

​Sekian, terima kasih.

Attachments