Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

18

Soalan

DATUK MOHD. AZIS BIN JAMMAN [SEPANGGAR] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan penjelasan berkenaan isu bil Tenaga Nasional Berhad yang melambung dengan melampau sehingga menimbulkan beban yang teruk kepada rakyat di seluruh negara. ​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan bil elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antaranya adalah seperti berikut:

(i) penggunaan elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh PKP telah meningkat di antara 20 hingga 50%. Keadaan ini berlaku kerana rakyat telah mematuhi perintah Kerajaan untuk berada di rumah masing-masing dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP kecuali pekerja-pekerja dalam sektor-sektor yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat; dan

(ii) operasi bacaan meter elektrik secara fizikal telah dihentikan sepanjang tempoh PKP iaitu bagi tempoh 20 Mac 2020 sehingga 18 Mei 2020. Bacaan bil dibuat secara anggaran bagi tempoh Mac, April dan Mei 2020 yang menyebabkan bil elektrik bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. Aktiviti bacaan meter elektrik oleh semua utiliti elektrik di Malaysia telah dihentikan secara sementara bermula 18 Mac 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menjaga kebajikan pembaca meter dan memutuskan rantaian serta membendung penularan wabak Covid-19. Langkah yang sama juga telah diambil oleh pihak utiliti lain di rantau ini seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Indonesia.

2. Memang tidak dinafikan bahawa pembacaan bil secara anggaran ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna memandangkan ini merupakan kali pertama TNB melaksanakan
pengebilan secara anggaran untuk tempoh 3 bulan berturut-turut. Tambahan pula, kaedah pengiraan ini agak sukar difahami oleh sebahagian besar rakyat yang menyebabkan timbulnya ketidakpuasan hati dan seterusnya menyebabkan isu peningkatan bil secara mendadak menjadi tular di media sosial.

3. Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini bahawa kaedah pengiraan yang diguna pakai oleh TNB telah disahkan dan diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai badan kawal selia industri bekalan elektrik negara. Kaedah yang sama juga diguna pakai oleh utiliti negara lain yang telah menghentikan bacaan bil secara fizikal dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Sekian, terima kasih.
Attachments