Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

45

Soalan

DATO' ABDULLAH SANI BIN ABDUL HAMID [ KAPAR ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapa jumlah kawasan hutan simpan dalam negara yang masih ada. Dalam kerancakan pembinaan bandar bandar baharu, apakah jaminan Kementerian dalam menjaga dan mengekalkan hutan-hutan simpan ini.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Malaysia masih mempunyai kawasan berhutan seluas 18,277,602 hektar atau 55.31% daripada keluasan tanah negara (33,034,500 hektar). Daripada jumlah tersebut, keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal adalah 11,671,853 hektar atau 35.33%.

2. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkaraperkara berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan hanya terhad untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal, latihan serta menjalankan penyelidikan berkaitan perhutanan.

3. Kementerian ini sentiasa komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara​ dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai. Dalam hubungan ini, antara langkah-langkah yang diambil bagi menjaga dan mengekalkan hutan-hutan simpan ini adalah seperti berikut:

(i) melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] bagi memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal yang melibatkan proses pendengaran awam (public hearing) serta memantapkan penguatkuasaan hutan, meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan;

(ii) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasankawasan berhutan sebagai HSK di mana kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mensasarkan untuk meningkatkan jumlah kawasan HSK di Semenanjung Malaysia kepada 5 juta hektar menjelang tahun 2020;

(iii) meneruskan aktiviti rawatan hutan dan silvikultur dalam Hutan Simpanan Kekal dimana seluas 250 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Sehingga Jun 2020, kesemua kawasan tersebut telah melalui aktiviti rawatan hutan dan silvikultur. Manakala, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, seluas 1,640 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah dikenal pasti untuk tujuan yang sama;

(iv) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan hutan melalui Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot Di Semenanjung Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, seluas 828 hektar telah dikenal pasti untuk pemeliharaan dan pemulihan. Sehingga Jun 2020, sebanyak 715 hektar telah berjaya dipelihara dan dipulihkan. Manakala, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kawasan seluas 811.6 hektar telah dikenal pasti untuk tujuan yang sama;

(v) menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri setiap 10 tahun bagi tujuan pentadbiran, pengurusan dan pembangunan Hutan Simpanan Kekal secara berkekalan;

(vi) melaksanakan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

(vii) menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK;

(viii) menjana pendapatan melalui potensi baharu selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD Plus dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) bagi mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pembalakan;

(ix) memperkasa amalan pengurusan hutan berkekalan dengan membangun dan mengaplikasikan teknologi terkini dalam penguatkuasaan hutan bagi tujuan pemantauan perubahan kawasan hutan; dan

(x) menggunakan platform Majlis Tanah Negara (MTN) bagi pelaporan secara berkala berkenaan keadaan semasa HSK di setiap negeri.

Sekian, terima kasih.​
Attachments