Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 August 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

46

Soalan

Tuan SANISVARA NETHAJI RAYER A/L RAJAJI [ JELUTONG ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan terhadap Tenaga Nasional Berhad untuk menyiasat aduan pengguna elektrik di seluruh negara tentang kenaikan caj bil elektrik yang mendadak.​.​

Jawapan

Datuk Yang di-Pertua,

1. Majoriti aduan pengguna elektrik berkenaan bil elektrik tinggi adalah kerana bacaan bil dibuat secara anggaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan bil elektrik pada bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. Dalam hal ini, Suruhanjaya Tenaga telah mengesahkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengenakan caj dalam bil elektrik semasa tempoh PKP berdasarkan penggunaan tenaga yang direkodkan melalui meter yang sah dengan mengikut kadar dan struktur tarif seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

2. TNB menggunakan kaedah pengiraan secara prorata apabila bacaan sebenar meter melebihi tempoh 31 hari. Melalui kaedah prorata ini, pengiraan penggunaan tenaga (kilowatt jam - kWj) akan mengikut blok-blok tarif yang telah ditetapkan bagi memastikan pengguna dikenakan caj yang tepat dan tiada sebarang caj yang berlebihan dikenakan kepada pengguna. Kaedah pengiraan secara prorata ini telah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai telus dan adil.

3. Justeru, TNB tidak dikenakan sebarang tindakan kerana TNB mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Sekian, terima kasih.


Attachments