Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

03 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

48

Soalan

Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah bin Raja Ahmad minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memastikan keluasan rizab hutan dan hutan simpan dikekalkan mengikut ketetapan yang telah ditentukan.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Izinkan saya untuk menjawab soalan daripada Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol pada 15 September 2020 secara bersama memandangkan ia menyentuh mengenai perkara yang sama.

2. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkara-perkara berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan hanya terhad untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal, latihan serta menjalankan penyelidikan berkaitan perhutanan.

3. Walau bagaimanapun, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan sasaran dan komitmen negara seperti yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan tercapai.

4. Dalam hubungan ini, antara langkah-langkah yang diambil bagi menjaga dan mengekalkan hutan-hutan simpan oleh KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak adalah seperti berikut:

a) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai HSK dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah kawasan HSK di Semenanjung Malaysia kepada 5 juta hektar menjelang tahun 2020;

b) meningkatkan keluasan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Area - TPA) selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 iaitu meningkatkan keluasan TPA di seluruh Sabah kepada 30% menjelang tahun 2025;

c) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan hutan antara lainnya melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Bersesuaian di Pesisiran Pantai Negara, Projek Central Forest Spine (CFS), Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot di Semenanjung Malaysia dan Inisiatif Heart of Borneo;

d) melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] bagi memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal yang melibatkan proses pendengaran awam (public hearing) serta memantapkan penguatkuasaan hutan, meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan;

e) melaksanakan aktiviti rawatan hutan dan silvikultur dalam Hutan Simpanan Kekal seluas 250 hektar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Manakala, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, seluas 1,640 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah dikenal pasti untuk tujuan yang sama;

f) melaksanakan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

g) menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK;

h) menjana pendapatan melalui potensi baharu selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD Plus dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) bagi mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pembalakan;

i) memperkasa amalan pengurusan hutan berkekalan dengan membangun dan mengaplikasikan teknologi terkini dalam penguatkuasaan hutan bagi tujuan pemantauan perubahan kawasan hutan; dan

j) kerjasama dan engagement dengan Kerajaan Negeri antara lainnya melalui platform Majlis Tanah Negara untuk membincangkan berkenaan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi maksud perhutanan dalam usaha meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran tanah negara.

Sekian, terima kasih.


Attachments