Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

08 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

27

Soalan

Tuan Kamarudin bin Abdun minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kementerian sedar bahawa hutan simpan kekal berterusan dicerobohi. Apakah dasar dan polisi Kerajaan kerana terbukti penguatkuasaan gagal membanteras aktiviti-aktiviti penerokaan secara haram.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memandang serius isu pencerobohan hutan yang melibatkan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Penjenayah yang melakukan pembalakan haram atau kesalahan hutan termasuk pencerobohan boleh didakwa berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

2. Antara usaha yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak adalah seperti berikut:

(i) melaksanakan pindaan ke atas Akta 313 bagi memantapkan penguatkuasaan hutan serta meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan. Peningkatan kadar denda ini adalah sebagai satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan;

(ii) meminda Seksyen 20 (2) dan 23 (2) Enakmen Hutan 1968 (Sabah) untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan pembalakan haram iaitu mandatori penjara satu (1) tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak lebih daripada RM500,000 jika sabit kesalahan;

(iii) menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah;

(iv) menubuhkan War Room@JPSM sebagai sebuah bilik gerakan yang menjadi hub-berpusat (one stop centre) di ibu pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang bertujuan memperkasakan aktiviti pemantauan sumber hutan negara. Ianya berupaya untuk mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam Hutan Simpanan Kekal termasuk yang berpunca daripada kegiatan pencerobohan dan penerokaan hutan, pembalakan haram, perubahan litupan hutan dan insiden kebakaran hutan di Semenanjung Malaysia;

(v) melibatkan dan melatih orang awam untuk berkhidmat sebagai Renjer Hutan Kehormat bagi mengesan pembalakan haram di Sabah;

(vi) membentuk pelbagai jawatankuasa bagi membanteras pembalakan haram di Sarawak seperti State Task Force on Illegal Logging Committee, Illegal Logging Action Committee, Forestry Prevention and Enforcement Working Committee dan Pasukan Gerak Khas Pembanterasan Pembalakan Haram; dan

(vii) melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak untuk membekalkan maklumat risikan yang lebih cepat dan tepat mengenai kemungkinan berlaku pembalakan haram di sesuatu kawasan.

3. Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sentiasa meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti penerokaan dan pembalakan secara haram. Sebagai contoh, terdapat peningkatan terhadap kes pembalakan haram di Semenanjung yang telah direkodkan dan diambil tindakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri pada tahun 2019 iaitu sebanyak 84 kes berbanding 12 kes pada tahun 2015. Manakala, di Sabah pula sebanyak 37 kes pembalakan haram telah direkodkan dan diambil tindakan oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun 2019 berbanding 25 kes pada tahun 2015. Ini menunjukkan pihak Kerajaan tidak berkompromi dengan pesalah dan pembalak haram dan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan. 

Sekian, terima kasih.

Attachments