Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

45

Soalan

Puan Raj Munni binti Sabu minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan setakat mana pembalakan di Negeri Kelantan mematuhi piawaian dan undang-undang alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang mempunyai hak mutlak ke atas hasil hutan. Bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.

2. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, salah satu kriteria utama dalam Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) ialah pengawalan terhadap pembukaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk pengusahasilan melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan di semua negeri termasuk negeri Kelantan pada setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun. Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11), CTT yang ditetapkan untuk negeri Kelantan adalah 27,085 hektar. Bagi tempoh 2016 hingga 2019, seluas 10,861 hektar kawasan hutan telah diusahasilkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan jumlah ini masih mematuhi CTT bagi negeri Kelantan.

3. Pelaksanaan CTT juga merupakan salah satu keperluan utama dalam Pensijilan Pengurusan Hutan. Sejak kebelakangan ini, aspek pensijilan kayu merupakan keperluan yang penting di pasaran antarabangsa. Melalui pelaksanaan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) bagi negeri-negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak termasuk negeri Kelantan, kayu-kayan negara akan dapat terus diperdagangkan dan diterima di pasaran antarabangsa. Pensijilan MC&I ini merupakan kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa selain turut mencerminkan perlaksanaan pengurusan hutan mampan yang diamalkan di negara kita. Pada masa kini, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah selesai menjalani audit tahap satu dan dijangka akan memperolehi pensijilan MC&I pada tahun 2021.

4. Manakala pembalakan di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu di kawasan Tanah Kerajaan (TK) dan Tanah Berimilik (TM) dilakukan untuk tujuan pembangunan tanah dan lazimnya dilakukan secara tebang habis bagi maksud pengubahan hutan kepada kegunaan tanah yang lain. Bagi perlesenan pembalakan di kawasan TK dan TM, ianya tertakluk kepada keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Jabatan Perhutanan Negeri akan hanya mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Sekian, terima kasih.

Attachments