Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

23

Soalan

Datuk Hj. Bashir bin Hj. Alias minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan:

(a) berapakah kes curi elektrik yang dikesan dan didakwa pada tahun terakhir ini di Wilayah Persekutuan Labuan; dan

(b) apakah langkah yang diambil oleh pihak Kementerian untuk membendung masalah curi elektrik yang boleh membahayakan penduduk khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.



Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

​1. Sebanyak 58 kes curi elektrik yang dikesan dan didakwa di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2019.

2. Bagi membendung masalah kes penggunaan elektrik secara curang, Kementerian melalui Suruhanjaya Tenaga telah melaksanakan langkah-langkah berikut:

(i) pindaan ke atas subseksyen 37(3)(e) Akta 447 telah dilaksanakan pada tahun 2015 dengan meningkatkan jumlah denda daripada RM100 ribu kepada RM1 juta bagi premis bukan domestik dan hukuman penjara maksima dinaikkan dari 3 tahun kepada 10 tahun;

(i) menjalankan operasi bersepadu di antara pihak SESB, pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memotong sambungan haram di penempatan-penempatan setinggan; 

(iii) menjalankan operasi penguatkuasaan di kilang-kilang yang menggunakan elektrik yang tinggi seperti kilang ais dan sejuk beku, kelab malam dan sebagainya; 

(iv) menjalinkan kerjasama dengan pihak media seperti Program Pencegahan Jenayah 999 di TV3 untuk memberi  pendedahan kepada orang awam berhubung aktiviti penggunaan elektrik secara curang dan risiko tindakan perundangan akibat perbuatan jenayah yang dilakukan dan tindakan sivil yang diambil oleh pihak utiliti pembekalan elektrik untuk menuntut kerugian hasil daripada pihak yang tidak bertanggungjawab; 

(v) mengadakan seminar untuk memberi mesej kepada orang awam di Sabah untuk tidak menerima sebarang tawaran menjimatkan kos penggunaan elektrik dengan cara mengusik pepasangan meter SESB; 

(vi) meningkatkan pemantauan oleh SESB di kawasan yang kerap kali melakukan penyambungan elektrik secara haram;

(vii) pengeluaran notis amaran oleh Suruhanjaya Tenaga ke atas tindakan penyambungan haram oleh pengguna-pengguna yang didapati telah membekalkan elektrik kepada rumah-rumah berhampiran secara haram; dan

(viii) mengadakan seminar keselamatan elektrik kepada agensi-agensi kerajaan dan kontraktor-kontraktor elektrik di Wilayah Persekutuan Labuan. Taklimat yang diberikan merangkumi perkara-perkara berkaitan dengan penggunaan elektrik secara curang dan sambungan elektrik haram.

Sekian, terima kasih.

Attachments