Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

58

Soalan

Tuan Manolan bin Mohamad minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menghalang gajah-gajah yang memusnahkan tanaman dan rumah di penempatan Orang Asli seperti di Gua Musang dan beberapa perkampungan Orang Asli di Pahang.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) sentiasa komited dalam menangani konflik gajah-gajah yang memusnahkan tanaman dan rumah di penempatan Orang Asli di Gua Musang dan beberapa perkampungan Orang Asli di Pahang. Secara umumnya tindakan menangani konflik gajah di penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Pahang adalah seperti berikut:

(i) menjalankan rondaan berkala dan pemantauan intensif gangguan gajah di Kampung Orang Asli;

(ii) menjalankan penyelenggaraan pagar elektrik sedia ada di Pos Pasik, Gua Musang sepanjang 800 meter dan Kampung Orang Asli Mentelong, Pahang sepanjang 2 km;

(iii) memasang kolar satelit pada gajah bagi sistem amaran awal untuk memantau pergerakan kumpulan gajah di lokasi konflik;

(iv) cadangan pemasangan lampu LED bagi menghalau gajah di perkampungan Orang Asli pada 9 hingga 11 September 2020; dan

(v) memindahkan gajah-gajah yang bermasalah ke kawasan yang lebih selamat.

2. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi kawasan Gua Musang antara tindakan khusus yang akan dilaksanakan adalah:

(i) cadangan untuk memasang pagar elektrik mudah alih di sekeliling kawasan pertanian penduduk Orang Asli di Pos Mendrop, Pos Simpor, Pos Gob dan Pos Belau pada                        2 hingga 27 Oktober 2020; dan 

(ii) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membaiki jalan masuk ke Pos Simpor bagi memudahkan pemantauan dan pengurusan konflik gajah pada 23 Oktober 2020.

3.  Pada masa ini, pasukan khas atau taskforce di peringkat Kerajaan Negeri telah diwujudkan bagi menangani isu konflik manusia-hidupan liar. Bagi tujuan penambahbaikan, KeTSA akan menubuhkan pasukan khas di peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober 2020 yang dianggotai oleh Kerajaan-kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kementerian/ Agensi yang berkaitan seperti JAKOA dan Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi lebuh raya dan syarikat perladangan yang besar bagi menangani konflik manusia-hidupan liar.

​4. Selain itu juga, KeTSA melalui Jabatan PERHILITAN dan Jabatan Alam Sekitar telah mewajibkan pematuhan kepada Wildlife Management Plan (WMP) bagi sebarang projek di habitat hidupan liar. WMP ini menjadi syarat bagi kelulusan laporan EIA di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Semua projek pembangunan yang memerlukan laporan EIA perlu menyediakan WMP yang akan mengenalpasti langkah-langkah mitigasi yang perlu dipatuhi oleh penggerak projek dan pelaksanaannya yang akan dipantau oleh Jabatan PERHILITAN bersama Jabatan Alam Sekitar. 

Sekian, terima kasih.

Attachments