Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

31

Soalan

Dato' Isa Bin Ab. Hamid minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas menyebabkan gangguan bekalan sumber air mentah dan sumber khazanah alam sekitar bagi hampir 2000 Komuniti Orang Asli di sekitar Kuala Langat.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua, 

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengambil perhatian serius dan masih mengekalkan pendirian untuk tidak menyokong cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) berkeluasan 930.93 hektar bagi tujuan pembangunan bercampur oleh Kerajaan Negeri Selangor. 

2. Pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan tersebut akan menyebabkan kehilangan spesies flora berharga seperti spesies Meranti bunga dan Meranti bakau yang masing-masing disenaraikan sebagai Critically Endangered  Endangered di bawah “Malaysia Plant Red ListPeninsular Malaysian Dipterocarpaceae".

3. Hutan Simpan tersebut juga mempunyai pelbagai spesies fauna termasuk spesies yang dilindungi sepenuhnya antara lainnya spesies burung liar yang terdapat lebih kurang 68 spesies burung di bawah Kategori Spesies Dilindungi Sepenuhnya seperti spesies Burung Helang dan Burung Tukang. Manakala untuk spesies mamalia, terdapat sembilan (9) spesies di bawah Kategori Spesies Dilindungi Sepenuhnya seperti spesies Kubung, Kongkang, Tenggiling, Tupai Kerawak Hitam, Tupai Gading, Kucing Batu, Bambun Ekor Pendek, Memerang Licin dan Tapir Malaya.

4. Cadangan pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan tersebut juga amat membimbangkan Kementerian ini, memandangkan tindakan ini akan turut menjejaskan komitmen Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok seperti yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992. 

5. Tambahan pula, HSKLU merupakan Hutan Paya Gambut yang merupakan satu ekosistem yang unik dan istimewa kerana peranannya sebagai penyimpan karbon yang signifikan serta mengawal sumber air persekitaran. Walaupun kawasan HSKLU digantikan dengan mana-mana tanah yang lain sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), jenis hutan atau kualiti dirian hutan di kawasan yang bakal digantikan adalah tidak setanding dengan dirian hutan kawasan yang diwarta keluar.

6. Oleh yang demikian, Kementerian amat berharap agar Kerajaan Negeri Selangor dapat mempertimbangkan semula cadangan pewartaan keluar kawasan HSKLU demi memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi di negara ini dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor khususnya Orang Asli yang mendiami kawasan sekitar hutan tersebut.

​Sekian, terima kasih.

Attachments