Tuan Yang di-Pertua,
1. Sumber biologi yang dimiliki negara adalah sangat berharga kerana ia berpotensi untuk digunakan bagi penghasilan produk-produk baharu termasuk dalam industri farmaseutikal dan lain-lain. Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] telah digubal untuk memastikan sumber biologi atau pengetahuan tradisi yang berkaitan diakses dengan jaminan perkongsian faedah serta mengelakkan berlakunya kegiatan kecurian sumber biologi negara (biopiracy). Penguatkuasaan Akta 795 juga adalah selaras dengan obligasi dan komitmen negara di bawah Convention on Biological Diversity (CBD) dan Nagoya Protocol on Access and Benefit-sharing (Protokol Nagoya) di peringkat antarabangsa.
2. Sejak pewartaan Akta ini pada akhir tahun 2017, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melaksanakan program-program kesedaran dan pembangunan kapasiti kepada pihak-pihak berkepentingan. Salah satu program yang boleh dibanggakan ialah “Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Tumbuhan Ubatan Orang Asli Semenanjung Malaysia" oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Program ini telah berjaya mendokumentasikan pengetahuan tradisi tumbuhan ubatan oleh lapan belas (18) suku kaum orang-orang asli di Semenanjung Malaysia di mana ia telah mendapat pengiktirafan “Most Number of Sub-Ethnic Orang Asli Traditional Knowledge (TK) Documented on Medicinal & Aromatic Plants" oleh Malaysia Book of Records.
3. Negeri Sarawak dan Sabah juga tidak ketinggalan dalam mendukung hasrat Akta 795 ini. Sebagai contoh, Sarawak Biodiversity Centre (SBC) telah membangunkan produk penjagaan kesihatan seperti syampu, sabun dan terapi aroma berasaskan komposisi minyak yang terdapat di pokok Litsea di Sarawak. Produk ini telah berjaya dikomersialkan dan memberi manfaat kepada penduduk-penduduk peribumi di Sarawak. Sementara itu, Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah berjaya mewujudkan satu Protokol Komuniti (Community Protocol) untuk komuniti Melangkap di Kota Belud. Dengan pewujudan Protokol Komuniti ini, penduduk di Melangkap berupaya untuk melindungi dan mempromosi pengetahuan tradisional mereka, meningkatkan kesedaran mengenai akses dan penggunaan pengetahuan tradisional, serta mengendalikan proses pemilikan pengetahuan dan perkongsian faedah hasil dari penggunaannya.
Tuan Yang di-Pertua,
4. Melalui Akta 795, sumber biologi dan pengetahuan tradisi negara yang dijumpai di negara ini dikaji dan dibangunkan menjadi produk yang bernilai komersial. Sehubungan itu, isu biopiracy dapat dibanteras, di mana sumber biologi dan pengetahuan tradisi diambil tanpa kebenaran dan dibangunkan untuk tujuan komersial tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara dapat dihalang.
Sekian, terima kasih.