Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

PERHILITAN

Nombor Soalan

42

Soalan

TUAN STEVEN CHOONG SHIAU YOON [TEBRAU] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimana aktiviti pemburuan haram mampu berlaku secara luas di Johor dan apakah tindakan yang telah diambil oleh Kementerian setakat ini untuk mengurangkan masalah ini. ​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) amat mengambil berat terhadap isu pemburuan haram yang didakwa berlaku secara meluas di negeri Johor. Antara faktor utama yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah:

a) permintaan yang tinggi ke atas hidupan liar bagi pelbagai tujuan terutamanya untuk dijadikan sebagai makanan eksotik serta binatang peliharaan kesayangan;

b) kedudukan kawasan hutan yang dikelilingi oleh kawasan perladangan dan pertanian memudahkan kegiatan pemburu-pemburu haram; dan

c) kedudukan negeri Johor yang berhampiran dengan negara jiran serta jajaran pantai yang panjang memudahkan aktiviti penyeludupan hidupan liar.

2. Pelbagai tindakan telah diambil bagi mengawal pemburuan haram tersebut, antaranya:

a) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu yang dikenali sebagai Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Wildlife Conservation Society (WCS). OBK dilaksanakan secara boots on the ground dengan rondaan berterusan di habitat hidupan liar termasuk Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram, pemburuan hidupan liar dan menghapuskan jerat. Sehingga kini, sebanyak 16 siri operasi telah dijalankan di negeri Johor dalam tahun 2020;

b) melaksanakan inisiatif Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3), mulai Julai 2020, di mana seramai 6 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 5 orang masyarakat Orang Asli (OA) telah lantik secara contract for service (CFS) sehingga hujung tahun 2020 bagi menjalankan aktiviti penguatkuasaan di Taman Negara Endau-Rompin Johor;

c) menjalankan risikan dan mendapatkan maklumat daripada orang ramai mengenai kumpulan dan aktiviti pemburuan haram di Johor; dan

d) bekerjasama dengan pasukan Polis Marin Johor bagi membenteras aktiviti penyeludupan hidupan liar ke negara-negara jiran.

Sekian, terima kasih.

Attachments