Tuan Yang di-Pertua,
1. Penularan pandemik COVID-19 telah memberi implikasi ke atas kegiatan ekonomi pengendali Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) di mana hasil kutipan tiket, jualan-jualan produk dan perkhidmatan yang menjadi sumber pendapatan utama ZPT terjejas sepenuhnya di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
2. Tindakan-tindakan jangka pendek yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi memastikan kebajikan hidupan liar di semua ZPT terus terpelihara adalah:
a) menyediakan peruntukan sebanyak RM10.2 juta di bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada premis ZPT yang terjejas. Dana ini bertujuan untuk meringankan bebanan kos operasi ZPT dengan menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan. Sebanyak 21 ZPT telah mengemukakan permohonan dan dana telah disalurkan secara berperingkat bermula Mei 2020;
b) mengedar 15 tan barang sitaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) termasuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada premis ZPT; dan
c) menyediakan bantuan teknikal kepada ZPT khususnya dalam pengurusan husbandri.
3. Tindakan jangka panjang pula melibatkan penyediaan Model Baharu ZPT dengan kerjasama Malaysian Association of Zoological Park dan Aquaria (MAZPA) dan ZPT. Antara perkara yang diberi penekanan dalam Model Baharu ZPT ialah memastikan ZPT berdaya tahan (financial sustainability) dan melaksanakan tadbir urus yang baik. Model Baharu ZPT akan diterima pakai selepas dimuktamadkan.
4. Dalam pada itu juga, pengawalseliaan dan pemantauan terhadap ZPT akan dipertingkatkan bagi memastikan tahap kesihatan dan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara. Pemantauan juga akan dilaksanakan untuk memastikan ZPT mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sekian, terima kasih.