Tuan Yang di-Pertua,
1. Sistem e-Tanah adalah sebuah sistem pengurusan tanah secara digital dan sistematik yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta Pejabat Tanah dan Daerah di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan. Objektif sistem e-Tanah ini adalah untuk membangunkan dan mendigitalkan sistem pentadbiran tanah elektronik supaya urusan-urusan pentadbiran tanah negeri lebih efektif, telus dan selamat. Pada masa kini, sistem e-Tanah telah dilaksanakan di negeri Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur manakala bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia masih lagi menggunakan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).
Tuan Yang di-Pertua,
2. Pelaksanaan sistem e-Tanah yang komprehensif dapat meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah. Sebagai contoh, sistem ini dapat berintegrasi dengan sistem-sistem di jabatan Kerajaan yang lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mana secara tidak langsung dapat mempercepatkan proses di pentadbiran tanah negeri. Selain itu, sistem e-Tanah juga menyediakan kemudahan kaunter setempat (Single Point of Contact (SPOC)) untuk kemudahan pelanggan berurusan dengan pelbagai unit dalam suasana yang lebih kondusif dan mempercepatkan masa pelanggan berurusan dengan Pejabat Tanah.
3. Pelaksanaan urusan secara atas talian pula membantu orang awam dan pemain industri untuk melaksanakan transaksi berkaitan tanah dengan lebih cepat dan telus. Urusan-urusan yang dahulunya memerlukan kehadiran ke pejabat tanah dapat diminimakan. Sebagai contoh, bagi urusan carian persendirian hakmilik, semakan dan bayaran cukai tanah, permohonan pindahmilik, gadaian, tarik balik kaveat, pendaftaran hakmilik dan perserahan urusniaga/ bukan urusniaga strata berkomputer boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi sistem e-Tanah. Ini sekaligus merangsang transaksi dan nilai pasaran hartanah.
4. Peningkatan kecekapan ini seterusnya dapat meningkatkan hasil Kerajaan Persekutuan melalui kutipan hasil duti setem serta hasil kerajaan negeri melalui kutipan cukai dan premium tanah. Selain itu, sistem ini juga mengurangkan ketirisan dalam kutipan hasil Kerajaan dari segi cukai tanah yang tidak berbayar, tunggakan tidak dikemaskini, alamat tidak kemaskini dan lain-lain.
5. Impak pelaksanaan sistem e-Tanah ini dalam jangka panjang ialah meningkatkan keyakinan pelabur berurusan di Malaysia dengan adanya sistem pengurusan tanah cekap dan berkesan. Seterusnya sistem e-Tanah dapat membantu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam pentadbiran tanah agar selari dengan keperluan dan teknologi semasa serta menambahbaik budaya kerja pentadbiran tanah dimana ianya dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan risiko penipuan dalam urusan pentadbiran tanah.
Tuan Yang di-Pertua,
6. Secara keseluruhannya, sistem e-Tanah ini telah membantu memudahkan orang ramai dalam melaksanakan urusan berkaitan hartanah dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Pelaksanaan sistem e-Tanah ini telah mendapat perhatian di peringkat dunia melalui Laporan World Bank pada tahun 2017 dalam penerbitannya bertajuk Enhancing Public Sector Performance – Malaysia's Experience with Transforming Land Administration. Selain itu, kedudukan Malaysia pada tahun 2018 bagi Ease of Doing Business adalah di tangga 24, dan pada tahun 2019, Malaysia berada di tangga 15 terbaik dunia. Bagi kategori Registering Properties pula, pada tahun 2018, Malaysia berada di kedudukan ke-42, dan pada tahun 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-29 terbaik dari 190 buah negara dalam urusan pendaftaran hartanah. Antara lain, sistem e-Tanah ini juga telah dianugerahkan sebagai Pemenang Emas dalam kategori Sektor Awam sempena ASEAN ICT Awards bagi tahun 2018.
Sekian, terima kasih.