Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

10 November 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Mineral, Geosains, Perhutanan, Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

45

Soalan

DATUK WIRA HAJI MOHD. ANUAR MOHD. TAHIR [TEMERLOH] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah inisiatif Kementerian untuk mengekang aktiviti pencerobohan dan kecurian sumber alam seperti pencerobohan hutan, mineral, pasir dan pemburuan haram dari terus berleluasa dengan penggunaan teknologi 'state of the art' seperti drone, remote sensing, Light Detection and Ranging (LIDAR) dan seumpamanya. ​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri komited untuk mengekang aktiviti pencerobohan dan kecurian sumber alam seperti pencerobohan hutan dari terus berleluasa. Antara usaha yang sedang dijalankan dengan menggunakan teknologi yang terkini adalah seperti berikut:

a) Penggunaan aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real timeGeographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS);

​b) Penubuhan Pusat Pemantauan Sumber Hutan Negara yang beroperasi 24 jam di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam pemantauan kesalahan hutan. Pusat ini berupaya untuk mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam HSK akibat aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan, pembalakan haram, perubahan litupan hutan dan insiden kebakaran hutan; dan

c) melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak untuk membekalkan maklumat risikan yang lebih cepat dan tepat mengenai kemungkinan berlaku pembalakan haram di sesuatu kawasan.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Dalam era norma baharu, penggunaan teknologi geospatial termasuk drone dan remote sensing akan meningkatkan keberkesanan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan. Ini termasuklah menggunakan aplikasi terkini seperti Spatial Monitoring And Reporting Tool-Connect (SMART).

3. Jabatan PERHILITAN juga telah memasang perangkap kamera Multimedia Messaging Service (MMS) di pintu-pintu masuk kawasan hotspot pemburuan haram bagi mendapatkan maklumat kemasukan pemburu haram ke kawasan berkenaan. Imej real time pemburu haram akan dihantar terus ke telefon bimbit sekiranya pemburu melalui perangkap kamera MMS tersebut. Penguatkuasaan di lokasi akan dilaksanakan sebaik sahaja apabila isyarat diterima oleh perangkap kamera MMS.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Aktiviti kawal selia untuk mengekang kecurian sumber asli seperti mineral dan bahan batuan dijalankan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Penguatkuasaan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 meliputi aktiviti perlombongan, pemprosesan mineral, pengangkutan dan pengumpulan (stockpiling). Selain itu, penguatkuasaan enakmen mineral negeri-negeri turut mempunyai peranan bagi memastikan tida sebarang aktiviti yang berkaitan pengeluaran sumber mineral secara tidak sah.

5. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga dalam usaha untuk menyelaras penguatkuasaan kedua-dua perundangan ini supaya saling melengkapi antara satu sama lain dan dapat memantapkan langkah-langkah penguatkuasaan dan kawal selia aktiviti perlombongan mineral. Usaha ini memerlukan kerjasama antara JMG dengan agensi Negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pentadbir Tanah dan Daerah (PTD) dalam menjalankan operasi bersepadu.

6. JMG juga bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan lain seperti Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Malaysian Space Agency (MYSA) untuk memastikan keberkesanan tindakan kawal selia.

7. Sebagai contoh, JMG telah menggunakan drone dengan bantuan JUPEM dalam mengenalpasti kuantiti stokpil mineral bauksit di Kuantan, Pahang. Bantuan MySA pula diperolehi melalui teknologi remote sensing di mana sebarang aktiviti pencerobohan dapat dikenalpasti sekiranya terdapat perubahan guna tanah di luar kawasan yang diluluskan untuk aktiviti perlombongan. 

8. Untuk masa akan datang, pengukuhan kawal selia di bawah JMG dijalankan dengan perolehan 3 unit drone sebagai salah satu alat untuk membantu dalam pemantauan operasi perlombongan dengan skala yang lebih meluas.

9. Dimaklumkan juga bahawa bagi aktiviti pengorekan pasir di Pelantar Benua iaitu kawasan lautan selepas tiga (3) batu nautika daripada tikas air surut adalah tertakluk kepada kelulusan lesen yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli merujuk kepada Seksyen 4, Akta Pelantar Benua 1966.

10. Bagi memantau dan mengekang pelanggaran syarat pengorekan pasir ini, semua kapal pasir yang beroperasi dilengkapi dengan Sistem Dredging and Dumping Management System (DDMS) yang boleh mengesan kedudukan dan pergerakan kapal-kapal tersebut. 

11. Mana –mana kapal yang dikesan tidak mengaktifkan sistem ini atau melakukan pengorekan pasir di luar kawasan konsesi akan didakwa di bawah Akta Pelantar Benua 1966.

Sekian, terima kasih.

Attachments