Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 November 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

18

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah kaedah pemantauan atau kawalan bagi pengorekan pasir laut di bawah Akta Pelantar Benua 1966 telah diberikan kepada pelesen-pelesen yang menepati syarat-syarat yang telah digariskan. Adakah ini memanfaatkan Kementerian dari segi sumber hasil dan apakah tindakan-tindakan yang diambil untuk mengelak kesan serta berlaku kecurian pasir dasar laut.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, mana-mana syarikat yang telah diluluskan lesen di bawah Akta Pelantar Benua 1966 perlu mengemukakan permohonan kebenaran beroperasi kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan sebelum boleh memulakan aktiviti pengorekan pasir. Kapal-kapal yang digunakan bagi tujuan pengorekan pasir laut juga diwajibkan untuk memasang Sistem Pemantauan Operasi Pengorekan Pasir atau 'Dredging and Dumping Management System' (DDMS) yang merupakan satu alat kawalan yang boleh mengesan kedudukan dan pergerakan kapal pasir tersebut. Sistem ini turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi tujuan pemantauan.

2. Penggunaan sistem, kerjasama bersepadu serta pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berkala dengan APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) dapat mengurangkan aktiviti kecurian pasir dasar laut seterusnya meningkatkan kutipan hasil negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments