Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 November 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

8

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapa jumlah lot yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek ECRL dan apakah status terkini pengambilan tanah serta pampasan yang diberi di negeri-negeri terlibat.​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sehingga kini, sebanyak 16,151 lot tanah telah dikenalpasti untuk dibuat pengambilan untuk projek East Coast Rail Link (ECRL). Daripada jumlah tersebut sebanyak 963 lot tanah di Negeri Pahang yang melibatkan Daerah Kuantan, Maran, Bera dan Temerloh serta Daerah Kemaman di Negeri Terengganu telah diwartakan di bawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486). Siasatan pengambilan di Seksyen B (Dungun – Mentakab) tersebut telah selesai dan jumlah pampasan yang telah dibayar adalah berjumlah RM313.35 juta manakala RM55.85 juta lagi berada dalam proses pembayaran. Bagi Negeri Kelantan sebanyak 1,546 lot tanah telah dikemukakan untuk diwartakan di bawah seksyen 8 Akta 486 dan kini berada dalam peringkat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri Kelantan.

2. Manakala sebanyak 13,642 lot tanah telah dikemukakan permohonan untuk diwartakan di bawah seksyen 4 Akta 486. Daripada jumlah tersebut 6,556 lot di Negeri Terengganu, 1,537 lot di Negeri Selangor, 4,749 lot di Negeri Sembilan dan 81 lot di Wilayah Persekutuan Putrajaya telah diwartakan di bawah seksyen 4 Akta 486. Sebanyak 719 lot di Negeri Pahang berada dalam peringkat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri Pahang. Permohonan yang dibuat di bawah seksyen 4 Akta 486 ini adalah bagi membolehkan pihak Malaysia Rail Link (MRL) dan kontraktor memasuki tapak untuk menjalankan kajian kesesuaian tanah sebelum dikemukakan permohonan pengambilan tanah di bawah seksyen 8 Akta yang sama.

Sekian, terima kasih.

Attachments