Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 September 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

2

Soalan

Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [ Port Dickson ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh mana pemantauan Kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khasnya di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan yang diambil terhadap kes-kes pelanggaran.​

Jawapan


​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) yang selari dengan Dasar Perhutanan Malaysia. Pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri terhadap aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah seperti berikut:

(i) Pengawalan terhadap pembukaan kawasan usahasil melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) bagi setiap Rancangan Malaysia. Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semulajadi (natural regeneration capacity) bagi setiap kawasan yang telah diusahasil. Untuk Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu pada 2021 sehingga 2025, CTT yang diluluskan oleh MTN adalah sebanyak 188,550 hektar untuk 5 tahun dimana setahun adalah sekitar 37,710 hektar untuk semua negeri. CTT ini adalah melibatkan kawasan hutan simpan kekal bagi kategori pengeluaran dan bukan hutan bagi kategori perlindungan;
(ii) pelaksanaan pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) bagi negeri-negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak. Sijil ini adalah sebagai kayu pengukur pelaksanaan prinsip SFM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa;
(iii) melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan. Unit risikan juga diwujudkan bagi merisik aktiviti pencerobohan hutan dengan menggunakan teknologi yang terkini seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), Geographic Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS);
(iv) menubuhkan Unit Integriti yang diketuai oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di KeTSA dan JPSM bagi memantau aduan, salah guna kuasa dan rasuah dalam pengurusan hutan supaya isu ketirisan hasil dapat dibanteras;
(v) melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak; dan
(vi) semenjak tahun 2010, semua pemegang lesen jangka panjang (SFMLA) dan lain-lain lesen pembalakan di negeri Sabah diwajibkan untuk diaudit oleh Independent Third Party Auditor;
(vii) wujudnya pembukaan Pusat Pemantauan Sumber Hutan Negara di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) atau dikenali sebagai War Room bertujuan mengesan apa-apa perubahan dalam kawasan hutan simpan. 

2. KeTSA memandang serius isu pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain di dalam HSK. Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 29 kes pembalakan haram dan 207 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan di Semenanjung. Manakala, sebanyak 3 kes pembalakan haram dan 49 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan di Sabah. Di Sarawak pula sebanyak 44 kes pembalakan haram dan 18 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan. Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa masing-masingnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah. Dalam hubungan ini, Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sentiasa meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti penerokaan dan pembalakan secara haram. 

3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti penguatkuasaan hutan disenaraikan sebagai salah satu essential services dan dilaksanakan dengan tumpuan diberikan kepada kawasan hotspot dan berisiko tinggi berlakunya kes kesalahan hutan. Aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sepertimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Sekian, terima kasih.
    

Attachments