Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 September 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

24

Soalan

YB Puan Yeo Bee Yin [ Bakri ] ​​Minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sama ada Kementerian akan menggalakkan persaingan (mengelak monopoli) dalam pembelian bahan api dengan menambah mekanisme perkongsian penjimatan dengan Independent Power Producer (IPP) seperti yang dirancang di MESI 2.0.

 


Jawapan

​​​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, pembukaan pasaran bahan api merupakan salah satu daripada empat inisiatif utama yang telah diluluskan oleh Kerajaan pada tahun 2019 di bawah Program Malaysia Electricity Supply Industry 2.0 (MESI 2.0). 

2. Walau bagaimanapun, Jemaah Menteri pada Mac 2021 telah bersetuju supaya inisiatif-inisiatif di bawah program MESI 2.0 yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Julai 2019 dikaji semula dengan memberikan penekanan kepada aspek-aspek yang lebih mesra rakyat, tidak memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan dan memberi fokus kepada persediaan industri bekalan elektrik negara untuk menghadapi cabaran-cabaran daripada kemunculan teknologi-teknologi baharu dan disruptif atau dengan izin, to focus on future-proofing the industry. Kerajaan pada masa itu juga bersetuju supaya pelaksanaan MESI 2.0 tidak melibatkan sebarang perubahan kepada struktur industri bekalan elektrik negara. 

3. Berbalik kepada pertanyaan Ahli Yang Berhormat mengenai status inisiatif pembukaan pasaran bahan api, sukacita saya memaklumkan bahawa tumpuan Kerajaan pada masa ini ialah untuk menyediakan industri bekalan elektrik negara ke arah peralihan tenaga (energy transition). Untuk itu, MyPower, sebuah Syarikat Terhad Dengan Jaminan atau Company Limited By Guarantee di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kajian bagi mengenal pasti inisiatif-inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan industri bekalan elektrik negara bersedia dalam mendepani cabaran-cabaran akan datang khususnya yang melibatkan kemasukan lebih banyak Tenaga Boleh Baharu dalam sistem bekalan elektrik negara.

4. Tambahan pula, seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, walaupun bahan api bagi penjanaan elektrik di Malaysia pada masa ini dibekalkan oleh TNB Fuel (TNBF) sebagai pembekal tunggal arang batu dan PETRONAS sebagai pembekal tunggal gas, namun Kerajaan tidak menghalang mana-mana penjana-penjana elektrik daripada mendapatkan bekalan bahan api daripada pihak lain selain TNBF dan PETRONAS.

5. Bagi pembekalan arang batu, penjana-penjana elektrik boleh mendapatkan bekalan secara terus daripada pasaran tanpa perlu melalui TNBF, dengan syarat harga pembelian adalah lebih rendah daripada harga yang ditawarkan oleh TNBF. Walau bagaimanapun, sehingga kini, Kementerian tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak penjana elektrik untuk mendapatkan bekalan arang batu daripada pihak lain selain daripada TNBF. 

6. Bagi pembekalan gas pula, penjana-penjana elektrik juga boleh mendapatkan bekalan gas untuk penjanaan elektrik daripada pihak lain selain PETRONAS, melalui mekanisme akses pihak ketiga (third-party access) untuk penggunaan terminal regasifikasi (regasification terminal) bagi tujuan pembelian liquified natural gas (LNG). Malah, seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, pada tahun 2019, Kementerian telah melaksanakan inisiatif untuk membawa masuk bekalan gas daripada pihak ketiga bagi membuka jalan kepada pihak-pihak lain selain daripada Petronas untuk membekalkan gas kepada sektor elektrik. Walaupun Kementerian bersedia untuk menawarkan insentif sekiranya mereka dapat membekalkan gas dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang ditawarkan oleh Petronas, namun, sehingga kini, masih belum ada mana-mana pihak yang dapat menawarkan harga gas pada harga yang lebih rendah daripada harga yang ditawarkan oleh Petronas. 


Sekian, terima kasih.


     

Attachments