Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 September 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

74

Soalan

YB DATUK SERI DR. MUJAHID BIN YUSOF RAWA [ PARIT BUNTAR ] Minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapakah keluasan hutan simpanan kekal paya bakau di daerah Kerian dan adakah pihak kementerian bercadang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah jumlah keluasan hutan simpanan kekal paya bakau di daerah Kerian bagi mengekalkan eko-sistem dan sebagai penampan semula jadi dari ribut dan ancaman tsunami.

​ 


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga 31 Disember 2020, keluasan kawasan berhutan di Negeri Perak adalah berjumlah 1,010,579 hektar iaitu merangkumi 47.8 peratus daripada keluasan tanah negeri. Daripada jumlah tersebut, seluas 987,632 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), di mana 42,216 hektar merupakan hutan paya laut. Bagi daerah Kerian, kawasan hutan paya laut berstatus HSK adalah seluas 11,427 hektar. 

2. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam mengenalpasti kawasan-kawasan hutan paya laut di luar HSK yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal bagi tujuan kestabilan ekosistem dan manfaat kepada masyarakat sekitar. Pada masa ini, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah mengenal pasti satu (1) kawasan untuk dijadikan cadangan HSK jenis hutan paya laut iaitu kawasan berhutan berhampiran Kampung Dew, Daerah Kerian seluas lebih kurang 60.58 hektar. Selain itu, usaha untuk menambah jumlah keluasan HSK adalah selari dengan komitmen negara untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok. ​

Sekian, terima kasih.

  

Attachments