Tuan Yang di-Pertua,
1. Sistem e-Tanah adalah sebuah sistem pengurusan tanah secara digital dan sistematik yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan pentadbiran tanah di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan selaras dengan hasrat Kerajaan menuju ke arah Industrial Revolution (IR) 4.0 dan pendigitalan perkhidmatan awam.
2. Sehingga Ogos 2021, Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta telah selesai dibangunkan dan digunapakai di dua (2) buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Perak. Pembangunan Sistem e-Tanah juga sedang giat dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan dan dijangka boleh digunakan (go-live) pada November / Disember 2021. Selain itu, sesi konsultasi dan libat urus bersama Kerajaan-Kerajaan Negeri Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Perlis, Kedah dan Kelantan sedang dilaksanakan seperti yang dirancang. Adalah dijangkakan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta ini akan selesai dibangunkan dan boleh digunapakai (go-live) pada tahun 2024.
3. Terdapat pelbagai faedah dan impak positif dalam pelaksanaan Sistem e-Tanah. Dari aspek ekonomi, Sistem e-Tanah ternyata telah membantu untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan-urusan berkaitan pembangunan hartanah dan perkara ini telah mendapat pengiktirafan oleh Bank Dunia dalam Laporan Ease of Doing Business. Di samping itu juga, proses pendaftaran pemilikan hartanah di Malaysia dapat ditambah baik dan kutipan hasil Kerajaan dapat dilaksanakan secara cekap, sistematik dan efisien untuk membantu meningkatkan lagi hasil Kerajaan.
4. Bagi sektor hartanah pula, Sistem e-Tanah membantu dan memudahkan orang awam dan pemain industri untuk melaksanakan urusan berkaitan tanah secara dalam talian. Ini sekaligus merangsang transaksi dan kecekapan pasaran hartanah. Urusan-urusan yang dahulunya memerlukan kehadiran ke pejabat tanah kini dapat diminimakan. Sebagai contoh, bagi urusan carian persendirian hakmilik, semakan dan bayaran cukai tanah, permohonan pindahmilik, gadaian, tarik balik kaveat, permohonan pendaftaran hakmilik dan perserahan urusniaga/ bukan urusniaga strata berkomputer boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi Sistem e-Tanah.
5. Seterusnya bagi pentadbiran tanah negeri, Sistem e-Tanah dapat membantu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Dalam masa yang sama, Sistem e-Tanah ini dapat menambahbaik budaya kerja pentadbiran tanah di mana ia dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan risiko penipuan serta ketirisan dalam urusan pentadbiran tanah.
6. Semasa dunia dilanda wabak COVID-19, terdapat pelbagai urusan dan aktiviti ekonomi yang tidak dapat dilaksanakan secara biasa dan memerlukan satu pendekatan norma baharu. Dalam hal ini, melalui pelaksanaan Sistem e-Tanah, penularan wabak ini tidak menghalang urusan pentadbiran tanah untuk terus dilaksanakan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) dan di pentadbiran tanah Negeri Perak. Pelbagai urusan pentadbiran tanah terutamanya kutipan hasil tetap dapat dilaksanakan seperti biasa dengan cekap dan selamat tanpa memerlukan kehadiran pengguna ke pejabat tanah. Penggunaan Sistem e-Tanah di PPTG WPKL dan Negeri Perak juga telah memberikan fleksibiliti kepada pegawai-pegawai untuk terus memberikan perkhidmatan yang efisien walaupun melaksanakan kerja dari rumah.
7. Secara keseluruhannya, Sistem e-Tanah ini telah membantu memudahkan orang ramai dalam melaksanakan urusan berkaitan hartanah dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
Sekian, terima kasih.