Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

29 September 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

39

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [KUALA LANGAT] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapa bilangan dan kos telaga tiub yang telah dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu dari tahun 2016-2020 dan bagaimana pembinaan telaga tiub ini telah membantu rakyat menghadapi masalah bekalan air bersih.

​ 


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Sebanyak 207 buah telaga tiub telah dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (tahun 2016-2020) melalui Projek Pembangunan Sumber Air Tanah Di Kawasan-Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih (Water Stress Area). Projek yang melibatkan kos sebanyak RM 14 juta tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 117,000 orang pengguna di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah bekalan air di beberapa lokasi di Malaysia seperti di Sarawak, Sabah, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor. 

2. Pembinaan telaga tiub sebagai sumber bekalan air bersih alternatif dapat mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan terpencil dan kawasan-kawasan bermasalah bekalan air dengan kepadatan penduduk/pengguna yang rendah seperti di kawasan pedalaman, kawasan tiada bekalan air terawat, kawasan sering mengalami gangguan bekalan air dan penempatan baharu. Pembinaan telaga tiub dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air permukaan yang kadang kala terjejas disebabkan oleh pencemaran atau fenomena kemarau panjang serta banjir. 

3. Sebagai contoh pembinaan telaga tiub di perkampungan orang asli Kuala Koh, Kelantan pada 14 Julai 2019, telah memberi manfaat kepada lebih 200 orang pengguna. Di Negeri Kedah pula, sumber air bawah tanah didapati mampu menampung keperluan bekalan air bersih negeri yang sering terganggu disebabkan musim kemarau yang panjang. Di antara tahun 2016 hingga 2020, sebanyak 25 buah telaga telah dibangunkan di 7 daerah di Negeri Kedah iaitu daerah Baling, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Yan serta Sik dan telah memberi manfaat kepada lebih 9,000 orang pengguna. ​

4. Telaga tiub yang dibina bersama dengan Sistem Penapisan Air Ringkas (SPATR) ini membolehkan sumber air diguna terus oleh penduduk. Sistem ini merupakan satu proses penapisan air bawah tanah secara berperingkat tanpa melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia. Air akan ditapis melalui 2 peringkat pemprosesan iaitu Penapisan Primer dan Penapisan Sekunder dan seterusnya disimpan di tangki simpanan sebelum dihantar kepada pengguna.

Sekian, terima kasih.




    

Attachments