Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

PERHILITAN

Nombor Soalan

11

Soalan

TUAN SHAHARIZUKIRNAIN BIN ABD. KADIR [ SETIU ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan usaha dilakukan bagi mengatasi isu konflik manusia dan gajah yang menyebabkan pengurangan 68 peratus populasi gajah di Malaysia sejak beberapa dekad ini.

 


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius terhadap konflik manusia dan gajah. Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, dianggarkan terdapat di antara 1,220 hingga 1,680 ekor gajah yang mendiami kawasan hutan di negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

2. Habitat dan kawasan keliaran adalah penting untuk menampung keperluan populasi gajah liar di Semenanjung Malaysia. Kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN pada tahun 2016 mendapati bahawa kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68%. Antara faktor yang menyebabkan pengurangan kawasan keliaran gajah ialah perubahan guna tanah termasuk untuk aktiviti pertanian, pembinaan empangan, pembinaan lebuh raya, penempatan penduduk dan perlombongan. 

3. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN bagi membendung konflik manusia-gajah di Semenanjung Malaysia, antaranya seperti berikut:

a) menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah di seluruh Semenanjung Malaysia. PKGK turut berfungsi sebagai pusat menyelamat anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh kumpulannya, merawat gajah-gajah yang tercedera selain menjadi tarikan aktiviti ekopelancongan berasaskan gajah;

b) mengenal pasti kumpulan gajah di seluruh negeri-negeri yang mempunyai populasi gajah bagi tujuan pemantauan dan pengurusan konflik. Rondaan di kawasan-kawasan keliaran gajah bagi mencegah konflik manusia-gajah juga diperluaskan dengan menggunakan drone;

c) menjalankan operasi tangkapan gajah di lokasi konflik yang serius dan memindahkannya ke habitat yang lebih luas dan sesuai;

d) membangunkan Santuari Gajah Johor (JES) dan Santuari Gajah Perak (PES) bagi mengurangkan konflik gajah di samping mewujudkan peluang aktiviti ekopelancongan dan penyelidikan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan;

e) menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu bagi mengurangkan impak konflik gajah di negeri Terengganu;

f) membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di kawasan kampung dan kebun-kebun yang berhampiran dengan habitat utama gajah;

g) memasang kolar satelit bagi kumpulan gajah yang telah dikenal pasti bagi memantau pergerakan kumpulan gajah tersebut dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian;

h) menjalankan sesi libat urus dan konsultasi bagi pengurusan konflik gajah bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk komuniti setempat bagi menerapkan kefahaman tentang sikap dan tingkah laku spesies gajah;

i) menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi mencegah pemburuan dan pembunuhan haram gajah;

j) mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan dalam perancangan dan pembinaan lintasan hidupan liar (viaduct) di lokasi lintasan gajah bagi membolehkan kumpulan gajah bergerak di antara kawasan habitat yang telah terpisah akibat pembinaan jalan raya. Antara inisiatif penting melibatkan pelaksanaan Master Plan Central Forest Spine (CFS); dan

k) membangunkan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) sebagai garis panduan dan rujukan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia.

Sekian, terima kasih.

  

Attachments