Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

6

Soalan

TUAN CHOW KON YEOW [TANJONG] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sebab Pulau Pinang tidak tersenarai berhubung pembaharuan sistem e-Tanah selaras dengan inisiatif MyDigital. Apakah status permohonan Pulau Pinang kini. Nyatakan sebabnya sekiranya ia tidak diluluskan. Sekiranya diluluskan, bilakah tempoh pelaksanaannya.​


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Sistem e-Tanah Pulau Pinang adalah projek perintis bagi Sistem e-Tanah di Malaysia. Sistem e-Tanah Pulau Pinang telah dibangunkan bermula tahun 2005 menggunakan peruntukan pembangunan (DE). Selain Pulau Pinang, Sistem e-Tanah yang dibiayai melalui peruntukan pembangunan juga telah dibangunkan di Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

2. Seterusnya, pada tahun 2014, Jemaah Menteri telah bersetuju Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership – PPP) dilaksanakan secara berfasa dengan projek secara rintis dilaksanakan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) dan diperluaskan ke Negeri Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis jika pelaksanaan di PPTG WPKL berjaya dilaksanakan. Sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara PPP ini adalah merangkumi kos pembangunan dan penyelenggaraan di sepanjang tempoh konsesi berbanding dengan Sistem e-Tanah yang dilaksanakan melalui DE yang hanya merangkumi kos pembangunan sistem sahaja. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan telah memohon peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dari semasa ke semasa bagi memastikan Sistem e-Tanah yang dibangunkan melalui DE ini tetap terus dapat digunakan secara efektif oleh pentadbiran tanah negeri. 

3. Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan tidak tersenarai di dalam pelaksanaan Sistem e-Tanah secara PPP kerana pada peringkat perancangan projek pada tahun 2012, ketiga-tiga negeri ini telahpun dibangunkan Sistem e-Tanah menggunakan peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun. Dalam hal ini, bagi negeri Pulau Pinang khasnya, Sistem e-Tanah DE telah mula digunapakai secara rasmi bermula pada tahun 2009 dan Pulau Pinang merupakan negeri terawal yang menggunakan Sistem e-Tanah.

4. Kementerian ini telah menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada bulan Februari 2021 supaya pelaksanaan Sistem e-Tanah secara PPP turut dilaksanakan di pentadbiran tanah Negeri Pulau Pinang. Susulan itu, Kementerian sedang dalam tindakan untuk meneliti perkara ini bagi mendapatkan halatuju pelaksanaan Sistem e-Tanah di Negeri Pulau Pinang.​

Sekian, terima kasih.

  

Attachments