Tuan Yang di-Pertua,
1. Pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021 telah memberi kesan yang besar kepada Zoo dan Pameran Tetap (ZPT). Selain pengurangan atau ketiadaan sumber pendapatan daripada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi termasuk penyediaan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri.
2. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia sentiasa prihatin dan telah mengambil inisiatif dalam membantu ZPT sejak Mac 2020. Sebagai langkah segera membantu ZPT, inisiatif jangka pendek yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
a) penyaluran Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar bermula Mei 2020 hingga Ogos 2021 dengan peruntukan sebanyak RM7.3 juta kepada premis ZPT yang terjejas. Dana ini bertujuan membantu meringankan bebanan kos operasi ZPT dengan menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan. Dana ini telah disalurkan secara berperingkat kepada 22 ZPT;
b) pemberian diskaun 15% bil elektrik selama enam (6) bulan kepada semua ZPT di Semenanjung Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0); dan
c) pengagihan lebih 205.9 tan barang sitaan makanan mentah iaitu daging dan tulang sejuk beku bernilai RM4.1 juta kepada ZPT melalui kolaborasi bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
d) penyediaan bantuan teknikal dalam pengurusan husbandri seperti khidmat nasihat dan bantuan kepakaran kakitangan serta pegawai veterinar Jabatan PERHILITAN dalam aktiviti pemindahan hidupan liar dan pemantauan tahap kesihatan.
3. Inisiatif jangka panjang pula melibatkan pembangunan Model Baharu ZPT dan mengkaji semula peraturan-peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 [Akta 716] melalui sesi konsultasi dengan Malaysian Association of Zoological Park and Aquaria (MAZPA) serta ZPT. Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan ZPT kepada Kerajaan serta mengukuhkan operasi ZPT supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.