Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

11 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

42

Soalan

YB PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH [KUANTAN] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan mengenai SOP untuk industri perlombongan bauksit. Sama ada sudah dibuat satu kajian dalam bentuk projek rintis untuk keberkesanan SOP tersebut. Sekiranya sudah apakah dapatan dari kajian tersebut.

 


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang dan beberapa jabatan Persekutuan lain telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit. SOP ini telah dikuatkuasakan pada 5 September 2019 bagi Negeri Pahang. Negeri Terengganu juga telah menguatkuasakan SOP Bauksit Terengganu pada 19 Mac 2020 dan diikuti oleh Negeri Johor pada 1 November 2020.

2. SOP ini melibatkan prosedur-prosedur utama untuk menjalankan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit seperti keluasan minimum tapak perlombongan, kaedah pengangkutan, tapak penyimpanan stokpil, pemprosesan, pengeksportan dan lain-lain.

3. Bagi menguji keberkesanan SOP ini, Pihak Berkuasa Negeri Pahang melalui Jawatankuasa Pemantauan Lombong Negeri Pahang telah menetapkan tempoh perintis di kawasan Gebeng mulai 1 Jun 2020 sehingga 30 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan sehingga 31 Mei 2021.

4. JMG Pahang telah menjalankan audit penilaian pematuhan SOP terhadap lombong-lombong yang telah diluluskan operasi bermula daripada 5 Julai 2021. Walau bagaimanapun, pengauditan penuh tidak dapat dijalankan kerana:

a) penguatkuasaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditetapkan oleh Kerajaan; dan

b) hanya 2 tapak lombong dari 7 tapak lombong yang mendapat kebenaran beroperasi daripada JMG dan Pihak Berkuasa Negeri sedang beroperasi sepanjang tempoh pengauditan.

5. Kementerian melalui JMG akan melengkapkan pengauditan bagi meneliti keupayaan pematuhan terhadap prosedur-prosedur di dalam SOP ini oleh semua pihak yang berkaitan di peringkat pihak berkuasa dan juga penggiat industri.

Sekian, terima kasih.


Attachments