Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

11 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

60

Soalan

YB PUAN YEO BEE YIN [BAKRI] minta Menteri Tenaga Dan Sumber Asli menyatakan sama ada Kementerian akan menambah kuota untuk Program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation). Apakah usaha Kementerian untuk menggalakkan NEM Rakyat dan NEM Government Ministries and Entities.




Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan telah memperkenalkan Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 dengan penawaran kuota sebanyak 500MW, bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023, atau sehingga kesemua kuota tersebut habis, yang mana terdahulu. 

2. Untuk kategori program Net Offset Virtual Aggregation (NOVA), kesemua kuota berjumlah 300MW telah dimohon oleh pengguna komersial dan industri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 203MW telah diluluskan untuk pelaksanaan kerana memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Baki kuota sebanyak 97MW sedang dalam proses penilaian teknikal oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA. Kuota NOVA yang tidak diluluskan akan dimasukkan kembali dalam sistem untuk penawaran semula. 

3. Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, penetapan kapasiti solar dalam campuran bahan api penjanaan elektrik adalah berdasarkan perancangan yang diluluskan oleh Kerajaan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik 2021-2039. Berdasarkan pelan tersebut, terdapat jumlah kapasiti solar yang masih boleh ditawarkan bagi memenuhi sasaran 31% Tenaga Boleh Baharu dalam kapasiti penjanaan elektrik negara. Kementerian sedang memuktamadkan pengagihan kuota tersebut untuk dilaksanakan melalui pelbagai program termasuk program Net Energy Metering. Ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini dengan mengambil kira had kemasukan solar ke dalam grid, keanjalan dan keselamatan sistem bekalan elektrik serta implikasi kos terhadap tarif pengguna.

4. Bagi menggalakkan penyertaan pengguna elektrik dalam Program NEM Rakyat, Kerajaan melalui SEDA Malaysia sedang melaksanakan aktiviti promosi melalui pelbagai saluran media. Di samping itu, syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan solar turut bersaing secara kompetitif dengan menawarkan pelbagai pakej kepada pelanggan.

5. Selain itu, Kementerian ini bersama-sama Jabatan Kerja Raya turut memberikan khidmat nasihat kepada jabatan/agensi yang berhasrat untuk melaksanakan pemasangan sistem solar PV di bangunan-bangunan Kerajaan di bawah Program NEM GoMEn. Pendekatan ini secara tidak langsung turut mempromosikan program ini di kalangan orang ramai serta Kementerian/Jabatan Kerajaan. ​

Sekian, terima kasih. 

    

Attachments