Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

11 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

3

Soalan

Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sasaran-sasaran bagi pembangunan sektor tenaga boleh baharu negara dalam tempoh lima tahun yang akan datang serta inisiatif-inisiatif yang telah dan akan diambil untuk membangunkan sektor tersebut.​


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan komited dalam menggalakkan pembangunan Tenaga Boleh Baharu atau TBB di negara ini. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 31% kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035. 

2. Usaha bagi mencapai sasaran TBB yang telah ditetapkan di Semananjung dan Sabah, akan diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui pelaksanaan program-program TBB seperti Feed-in Tariff (FiT) bagi sumber biojisim, biogas dan hidrokuasa kecil. Manakala bagi sumber solar, ia adalah melalui program Net Energy Metering (NEM), Self-Consumption (SelCo) dan New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA). Perincian agihan kuota berdasarkan program-program yang dinyatakan ini akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) dengan mengambilkira pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 oleh YAB Perdana Menteri. JPPPET dijangka akan bersidang sebelum akhir tahun ini. 

3. Bagi Negeri Sarawak pula, memandangkan kuasa pembekalan elektrik adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, inisiatif untuk mencapai sasaran TBB akan diterajui oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak, dengan membangunkan projek-projek TBB daripada sumber solar, hidro dan biojisim. ​

4. Buat masa ini, pencapaian kapasiti terpasang TBB dalam pembekalan elektrik negara adalah 23%. Pencapaian ini tidak jauh ketinggalan berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Filipina, 29% dan Thailand 30% serta lebih baik berbanding negara ASEAN yang lebih maju seperti Singapura 4.3% dan Brunei 0.2%. ​​

Sekian, terima kasih.

   

Attachments