Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan amat memahami bahawa kebanyakan Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) telah terjejas pendapatan kerana pengurangan atau ketiadaan sumber pendapatan daripada kutipan tiket masuk akibat pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020. Sesetengah ZPT terpaksa mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menanggung kos operasi yang tinggi termasuk penyediaan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri.
2. Dalam usaha menangani situasi ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengambil langkah segera sejak Mac 2020 bagi membantu ZPT untuk meneruskan kelangsungan operasi melalui inisiatif-inisiatif berikut:
(i) penyaluran secara berperingkat Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar bermula Mei 2020 hingga Ogos 2021 dengan peruntukan sebanyak RM7.3 juta kepada 22 premis ZPT yang terjejas. Dana ini bertujuan membantu meringankan bebanan kos operasi ZPT dengan menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan;
(ii) pemberian diskaun 15% bil elektrik selama enam (6) bulan kepada semua ZPT di Semenanjung Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) serta pemberian diskaun 10% bil elektrik di bawah Pakej Bantuan PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021. Ini termasuklah rebat bil elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021 bagi ZPT yang memiliki akaun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB);
(iii) pengagihan lebih 205.9 tan barang sitaan makanan mentah iaitu daging dan tulang sejuk beku bernilai RM4.1 juta kepada ZPT melalui kolaborasi bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pelbagai agensi; dan
(iv) penyediaan bantuan teknikal dalam pengurusan husbandri seperti khidmat nasihat dan bantuan kepakaran kakitangan serta pegawai veterinar Jabatan PERHILITAN dalam aktiviti pemindahan hidupan liar dan pemantauan tahap kesihatan.
3. Selain itu, usaha telah diambil untuk membangunkan Model Baharu ZPT dan mengkaji semula peraturan-peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 [Akta 716] melalui sesi konsultasi dengan ZPT dan Malaysian Association of Zoological Park and Aquaria (MAZPA). Inisiatif jangka panjang ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan ZPT kepada Kerajaan, mengukuhkan operasi ZPT supaya lebih berdaya maju serta memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.