Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sentiasa memastikan supaya tarif elektrik terutamanya bagi pengguna domestik adalah mampu bayar. Oleh yang demikian, dalam perancangan penetapan tarif, Kerajaan telah menetapkan supaya tarif elektrik pengguna bagi penggunaan blok 100kWj yang pertama hanya dikenakan caj 21.8sen/kWj dan 33.4sen/kWj untuk penggunaan sehingga 200kWj yang seterusnya. Kadar tarif yang ditetapkan ini adalah lebih rendah, berbanding purata tarif asas elektrik iaitu 39.45 sen/kWj.
2. Penetapan blok tarif yang lebih rendah bagi penggunaan 2 blok elektrik yang pertama ini adalah sebagai galakan kepada pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap, selain membolehkan golongan B40 yang lazimnya mempunyai penggunaan bulanan elektrik antara 200-300kWj setiap bulan menikmati tarif elektrik yang mampu bayar. Langkah ini membolehkan pengguna elektrik hanya membayar RM77 sebulan bagi penggunaan elektrik untuk 300kWj yang pertama berbanding RM118 sebulan jika dikenakan tarif elektrik asas. Ini bermakna pengguna dapat menikmati diskaun/penjimatan sehingga 35%.
3. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Program Rebat Bil Elektrik RM40 yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 untuk membantu Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan oleh sistem eKasih. Program ini dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup KIR miskin tegar melalui diskaun bil elektrik sehingga RM40 setiap bulan.
4. Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, sebarang pertimbangan untuk pemberian rebat atau diskaun pada masa akan datang adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan.
Sekian, terima kasih.