Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tanah, Perhutanan

Nombor Soalan

44

Soalan

​Datuk Hj. Bashir Bin Hj. Alias minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah pihak Kementerian bercadang untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi memastikan ia lebih komprehensif dan relevan dengan keperluan semasa memandangkan isu pencerobohan hutan dan tanah yang semakin berleluasa.

Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) dan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] mempunyai bidang kuasa yang berbeza dari segi penguatkuasaan. KTN digunakan untuk menguatkuasakan pencerobohan ke atas tanah rizab atau tanah kerajaan sahaja, manakala Akta 313 pula dikuatkuasakan terhadap pencerobohan di atas tanah rizab hutan sahaja. Pihak penguatkuasa juga melibatkan agensi yang berbeza iaitu pihak Pentadbiran Tanah bagi penguatkuasaan pencerobohan tanah dan Pegawai-pegawai hutan pula bagi penguatkuasaan pencerobohan hutan. Walau bagaimanapun, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah berasaskan model perkongsian pintar merentas agensi bagi memperolehi impak yang berkesan dan jitu. 

2. Untuk makluman, di bawah Kanun Tanah Negara (Disemak 2020) [Akta 828], telah wujud peruntukan-peruntukan yang teratur bagi membantu Pihak Berkuasa Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pencerobohan tanah kerajaan atau tanah rizab, pencerobohan ruang udara tanah kerajaan atau tanah rizab, pengeluaran hasil batu-batan atau kayu balak daripada tanah kerajaan atau tanah rizab secara haram serta menghalang sesiapa sahaja membenarkan haiwan ternakan meragut di atas tanah kerajaan atau tanah rizab. Terdapat peruntukan yang memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat tangkapan, perampasan dan juga mengenakan kompaun bagi setiap kesalahan tersebut. 

3. Hukuman punitif yang boleh dikenakan di bawah Akta 828 ialah denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pencerobohan tanah dan pengeluaran bahan batuan atau balak secara haram. Terdapat juga tambahan kepada denda dan tempoh masa penjara yang mana tertuduh akan diarah oleh Mahkamah untuk membayar balik kepada Pihak Berkuasa Negeri nilai harga batu-batan atau balak yang diambil. Bagi pencerobohan ruang udara pula, denda RM10,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan dan bagi ragutan haiwan ternakan secara haram, boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000. Peruntukan juga membenarkan Pihak Berkuasa Negeri untuk memberi kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada nilai denda maksimum bagi setiap kesalahan tersebut. 

4. Oleh yang demikian, pada hemat saya, peruntukan-peruntukan yang sedia ada ini adalah mencukupi dari segi keperluan perundangan dalam Akta 828 bagi menangani isu-isu pencerobohan tanah memandangkan semakan semula kadar denda tersebut baharu sahaja dibuat pada tahun 2020.

5. Seterusnya bagi Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] pula, Kementerian ini melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang dalam peringkat melaksanakan pindaan ke atas akta tersebut, yang antara lainnya memberikan penekanan kepada aspek memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran serta meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar. 

6. Peningkatan kadar hukuman dan penalti ini adalah sebagai salah satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan. 

Sekian, terima kasih.
        

Attachments