Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Geosains, Mineral

Nombor Soalan

5

Soalan

TUAN SABRI BIN AZIT [ JERAI ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah yang diambil terhadap mitigasi kawasan bencana tahap 1 di Gunung Jerai baru-baru ini.​

Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membahagikan pengurusan bencana kepada 3 tahap mengikut skala kejadian dan penyelarasan, iaitu Tahap I di peringkat daerah, Tahap II di peringkat negeri dan Tahap III di peringkat negara. Kejadian tanah runtuh dan aliran puing yang melanda Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021 merupakan kejadian bencana setempat yang terkawal dan tiada potensi merebak, menjadikan pengurusannya mengikut Pengurusan Bencana Tahap I di bawah penyelarasan Pegawai Daerah Yan.

2. Kementerian ini dan Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia (JMG) akan terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi tindakbalas yang berkaitan dalam menjalankan aktiviti mitigasi bencana yang diperlukan di kawasan yang terjejas akibat kejadian bencana di Gunung Jerai. Sehingga kini, JMG telah melaksanakan analisa geologi, geomorfologi dan geologi kejuruteraan bagi mengenalpasti lokasi cerun di gunung jerai yang berisiko terjadi tanah runtuh serta pemetaan aliran puing termasuk mengenalpasti ciri-ciri aliran puing yang terjadi. Di samping itu, JMG juga sedang mengenal pasti tapak-tapak yang bersesuaian di Gunung Jerai bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi. JMG turut mengadakan program-program pemerkasaan komuniti dan kesiapsiagaan masyarakat setempat bagi mengurangkan kesan buruk bencana geologi ke atas masyarakat.

3. JMG juga sedang menyediakan Laporan Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun di Gunung Jerai, Kedah, yang akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 November 2021. Laporan tersebut akan membantu pihak NADMA menentukan halatuju mitigasi yang sesuai dilakukan di kawasan tersebut.

4. Dalam masa yang sama, KeTSA melalui JMG bersama dengan Kerajaan Negeri Kedah akan melaksanakan “Projek Pemetaan Kawasan Bencana Geologi Di Gunung Jerai, Kedah” bagi mengkaji kejadian tersebut dengan lebih terperinci dan mengenalpasti langkah-langkah mitigasi tambahan yang diperlukan serta pemasangan sistem amaran awal bencana geologi di tempat kejadian. Ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas dapat dijaga dan jika berlaku semula, akan mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. 

Sekian, terima kasih.
  

Attachments