Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 October 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

14

Soalan

 PUAN ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS [ KOTA BELUD ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan status terkini pemulangan hak pemilikan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Sabah.


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,​

1. Keajaan Persekutuan komited untuk meneruskan penyerahan kuasa pembekalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah dan memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah. 

2. Dalam hal ini, berhubung status terkini pemulangan hak pemilikan atau kuasa pembekalan elektrik Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah, YAB Ketua Menteri Sabah pada 4 Mac 2021 telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah hanya bersedia untuk mengambil alih kuasa pembekalan elektrik Sabah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang. Ia juga tertakluk kepada beberapa syarat tertentu yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Cadangan tersebut sedang diteliti dan diperhalusi oleh Kementerian sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kerajaan Negeri Sabah berpandukan mandat yang diperoleh daripada Jemaah Menteri kelak.

3. Ini adalah kerana Kerajaan Persekutuan amat mengambil berat mengenai kedudukan kewangan SESB yang tidak mampan berikutan kadar tarif elektrik yang dikenakan kepada pengguna-pengguna elektrik di Sabah pada kadar purata 34.52 sen/kWj adalah jauh lebih rendah daripada kos pembekalan elektrik sebenar iaitu 42.34 sen/kWj tanpa subsidi bahan api. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai subsidi kepada SESB iaitu subsidi sokongan tarif, subsidi solar berskala besar dan subsidi bahan api. Sejak tahun 2005, jumlah subsidi yang disalurkan kepada SESB telah mencecah RM7.6 bilion. Jumlah ini tidak mengambil kira geran yang disalurkan untuk membangunkan infrastruktur bekalan elektrik di Negeri Sabah sebanyak RM2.3 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 dan ke-12

4. Rundingan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan dilaksanakan setelah pakej cadangan balas yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan diluluskan oleh Jemaah Menteri kelak.​

Sekian, terima kasih.


  

Attachments