Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 November 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

1

Soalan

TUAN SABRI BIN AZIT [JERAI] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah JKPTG dapat mempercepatkan proses pindah milik, pembatalan dan daftar nama di geran tanah setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah kerana terdapat proses hak pindah milik tertangguh sehingga bertahun untuk diselesaikan.​

Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Mahkamah Syariah sebenarnya tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan proses pindahmilik, pembatalan dan pendaftaran nama di geran tanah yang melibatkan pembahagian pusaka bagi si mati yang meninggal dunia. Itu saya perlu jelaskan terlebih dahulu supaya jawapan ini nanti lebih jelas dan teratur.

2. Dalam konteks pendaftaran turun milik akibat kematian, Pendaftar Hak Milik hendaklah merujuk kepada Seksyen 346, Kanun Tanah Negara. Ini kerana, mana – mana tanah atau bahagian atau kepentingan dalam tanah yang menjadi harta pusaka si mati, bagi tujuan pendaftaran, Pendaftar Hakmilik hendaklah merujuk hanya kepada Perintah atau Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di bawah Akta 97 atau JKPTG di bawah Akta 98.

3. Seksyen 421A Kanun Tanah Negara memperuntukkan dalam perkara dan kuasa Mahkamah yang dinyatakan adalah termasuk Mahkamah Syariah. Antara bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah melibatkan pengeluaran sijil faraid, pengesahan nasab, pengesahan wasiat dan hibah; dan harta sepencarian.

4. Merujuk kepada konteks soalan asal Yang Berhormat, sebenarnya Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah JKPTG bertanggungjawab menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka kecil melibatkan harta pusaka orang Islam dan orang bukan Islam.

5. Pada masa yang sama, seperti yang Yang Berhormat sedia maklum kita sedang membuat pindaan kepada Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] yang mana, antara lain peluasan bidang kuasa harta pusaka kecil meliputi semua jenis harta dan peninggkatan nilaian keseluruhan harta pusaka simati kepada RM 5 juta daripada RM 2 juta.

6. Bidang kuasa harta pusaka kecil diperluaskan bagi meliputi semua jenis harta dan tidak lagi tertakluk kepada syarat simati mesti meninggalkan harta tak alih seperti sedia ada melalui pindaan seksyen 3 subseksyen 3(2).

7. Walaubagaimanapun, sekiranya mempunyai pertikaian khusus orang Islam yang melibatkan isu dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah akan diambilkira dalam isu tersebut.

Sekian, terima kasih.
 

Attachments