Tuan Yang di-Pertua,
1) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang melaksanakan pindaan kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021.
2) Setelah sepuluh (10) tahun pelaksanaan Akta 716, PERHILITAN telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan ke atas Akta 716. Pindaan ini adalah bagi menambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada ke arah meningkatkan lagi perlindungan hidupan liar serta habitatnya. Ini termasuk meningkatkan kadar hukuman dan penalti serta mengukuhkan penguatkuasaan dalam menangani isu-isu semasa seperti perdagangan dalam talian.
3) Selain daripada itu, KeTSA melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sedang menambah baik kerangka perundangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan pembahagian pusaka di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] iaitu RUU Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.
4) Cadangan RUU ini adalah bagi memperuntukan kaedah dalam membentuk kerjasama strategik antara pihak Kerajaan (JKPTG) bersama autoriti lain yang memainkan peranan sebagai pemain industri di samping memperluaskan definisi harta pusaka kecil yang meliputi semua jenis harta selain peningkatan nilaian bidangkuasa.
5) Kedua-dua RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 ini telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2021 yang lalu. Seterusnya, RUU ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Negara yang dijangka pada bulan Disember 2021.
6) KeTSA juga melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang dalam proses melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Cadangan pindaan tersebut akan memberikan penekanan kepada aspek memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran serta meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar. Peningkatan kadar hukuman dan penalti ini adalah sebagai salah satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan.
7) KeTSA juga sedang menggubal RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga sebagai kerangka perundangan untuk mengawal selia dan menyokong pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga secara menyeluruh khususnya untuk pengguna elektrik berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial. Pada masa ini, draf RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga sedang dalam peringkat semakan akhir di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
8) Kedua-dua RUU Perhutanan Negara (Pindaan) dan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga ini dijangka akan dikemukakan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada tahun 2022.
Sekian, terima kasih.