Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

09 November 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

41

Soalan

​​PUAN VIVIAN WONG SHIR YEE [ SANDAKAN ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan:

(a) apakah Indeks Purata Gangguan Sistem (SAIDI) yang disasarkan untuk Sabah untuk tahun 2020 dan apakah SAIDI sebenar yang telah dicapai; dan ​

(b) mengapa SAIDI untuk Sabah kekal tertinggi antara semua negeri di negara ini untuk sekian lamanya dan bagaimana Kementerian merancang untuk mengurangkannya untuk setanding dengan negeri lain

 

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Bagi tahun 2020, Kerajaan telah menetapkan sasaran pengurangan SAIDI di Sabah pada kadar 150 minit/pengguna/tahun. Sasaran ini ditetapkan dengan menggunakan data daripada sistem pemantauan lama iaitu LGB Net yang digunakan oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) tanpa mengambil kira gangguan besar dan kerja-kerja penambahbaikan sistem. Walau bagaimanapun, pencapaian SAIDI di Sabah bagi tahun 2020 adalah pada kadar 189.43 minit/pengguna/tahun, lebih tinggi daripada sasaran yang telah ditetapkan. ​

2. Namun demikian, dengan mengambil kira bahawa SESB telah mengguna pakai sistem baharu yang dapat memantau gangguan dengan lebih tepat iaitu penggunaan sistem ECOMMS, Kementerian telah memutuskan supaya pengiraan SAIDI bagi tahun 2021 menggunakan data ECOMMS serta mengambil kira gangguan disebabkan oleh kerja-kerja penambahbaikan sistem dan tidak termasuk gangguan besar atau dengan izin major incidents. Dengan penggunaan sistem ECOMMS, sasaran SAIDI bagi tahun 2021 ditetapkan pada 350 minit/tahun.

3. Kerajaan sedar bahawa kadar SAIDI di negeri Sabah adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar SAIDI di Semenanjung. Sebahagian besar daripada gangguan bekalan elektrik ini berpunca daripada masalah di peringkat sistem pengagihan atau distribution system dengan izin, iaitu 97.7%, diikuti penjanaan (1.5%) dan penghantaran (0.8%). Antara faktor yang menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik di peringkat pengagihan adalah gangguan binatang liar, pokok-pokok yang mengganggu kabel, kerosakan kabel dan lebihan beban yang berpunca dari sambungan haram. 

4. Bagi mengurangkan kadar SAIDI di Sabah, Kerajaan telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas yang diterajui oleh Suruhanjaya Tenaga dan turut dianggotai oleh pegawai-pegawai Kementerian, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), wakil industri dan pakar-pakar teknikal yang bertanggungjawab untuk merangka pelan tindakan ke arah penurunan SAIDI Sabah pada tahun 2025. Pasukan Petugas Khas ini juga akan melakukan pemantauan secara berkala terhadap prestasi penyelenggaraan atau maintenance regime dengan izin yang dilaksanakan oleh SESB bagi mengatasi masalah gangguan yang berlaku di peringkat pengagihan dan memastikan SESB mencapai petunjuk prestasi utama atau Key Performance Index (KPI) dengan izin yang telah ditetapkan oleh Kerajaan pada setiap tahun.

Sekian, terima kasih.
   

Attachments