Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 November 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

4

Soalan

PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH [KUANTAN] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan :-

(a)         berkenaan aplikasi Penghijauan Malaysia, berapa jumlah pengguna yang memuat turun aplikasi ini dan berapa banyak rekod penanaman dari kawasan-kawasan luar bandar, serta berapa spesies bernilai yang telah ditanam sepanjang kempen; dan​

(b)         adakah satu rancangan berbentuk 'outreach' untuk memaklumkan orang awam tentang program ini.


Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 5 Januari 2021 bertempat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan dilancarkan secara serentak di semua negeri oleh YAB Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

2. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah membangunkan satu aplikasi mudah alih iaitu “Penghijauan Malaysia” dan juga laman web khas yang boleh dicapai melalui pautan www.100jutapokok.gov.my. Aplikasi mudah alih dan laman web tersebut boleh digunakan oleh semua agensi kerajaan atau swasta mahupun orang awam bagi merekodkan data penanaman pokok sama ada mewakili agensi mahupun selaku individu. Sistem pengoperasian “Penghijauan Malaysia” tidak mengklasifikasikan data dari kawasan luar bandar dan bandar. Walau bagaimanapun, data tersebut diklasifikasikan mengikut negeri, agensi/individu penanam dan jenis pokok. 

3. Sehingga kini, sebanyak 23,569,791 pokok telah direkodkan dan jumlah spesies bernilai dalam kategori Critically Endagered, Endangered, Vulnerable dan Near Threatened berdasarkan The International Union for Conservation of Nature's Red List of Threatened Species adalah sebanyak 6,451,142 yang merangkumi 322 spesies. Manakala, jumlah pengguna aplikasi mudah alih sehingga 22 November 2021 adalah sebanyak 4,139 orang. 

JAWAPAN (b) 

1. KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung sedang melaksanakan pelbagai program untuk mempromosi serta mewar-warkan kepada orang awam termasuk promosi kempen ini sebagai bentuk aktiviti bermanfaat yang masih boleh dilaksanakan oleh orang ramai dalam mengisi masa lapang semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antara program tersebut adalah seperti berikut:
(i) menganjurkan webinar Penghijauan Malaysia bersama dengan The Habitat Foundation, JPSM dan FRIM;
(ii) mengadakan program penanaman pokok secara virtual bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan Insitusi Pengajian Tinggi;
(iii) mengadakan pertandingan video kreatif bertemakan Penghijauan Malaysia melalui aplikasi media sosial;
(iv) mengadakan program kesedaran dan penanaman pokok bersama dengan komuniti setempat; 
(v) mengadakan latihan penggunaan laman web secara dalam talian kepada agensi-agensi Persekutuan dan Negeri, NGO, syarikat-syarikat swasta dan orang ramai;
(vi) memberikan ganjaran (rewards) kepada pengguna kategori individu yang menanam pokok; dan
(vii) mengadakan hebahan secara berterusan melalui stesen radio televisyen dan akhbar tempatan serta melalui platform media sosial kempen penanaman 100 juta pokok seperti You Tube, Facebook, Twitter dan Instagram.

Sekian, terima kasih.
     

Attachments