Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 November 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

15

Soalan

TUAN STEVEN CHOONG SHIAU YOON [TEBRAU] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah diambil oleh Kementerian bagi:-​​

1. memastikan semua pendawaian elektrik yang dikilangkan di Malaysia untuk pasaran tempatan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan; dan

2. apa langkah-langkah kedai-kedai logam supaya tiada pendawaian yang tidak memenuhi piawaian keselamatan tidak dijual kepada rakyat.

 


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

a) Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa mengawal selia keselamatan kelengkapan elektrik sama ada yang diimport atau yang dikilangkan di dalam Malaysia dan yang diedarkan serta dijual untuk pasaran tempatan seperti di kedai-kedai logam. Terdapat sebanyak 34 jenis kategori kelengkapan elektrik yang dikawal selia oleh ST, termasuklah kabel pendawaian elektrik, dengan izin, jenis non-armoured bersaiz 0.5mm2 sehingga 35 mm2 yang lazimnya direkabentuk untuk kegunaan elektrik bervoltan rendah.

b) ST telah menetapkan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pengilang bagi memastikan kabel pendawaian elektrik yang memenuhi piawaian keselamatan sahaja dijual kepada pengguna seperti berikut:

i) pengilang perlu mendapatkan Perakuan Kelulusan daripada ST sebelum kelengkapan elektrik yang dikawal selia boleh dikilang, diimport, dipamer, dijual atau diiklankan;

ii) pengilang perlu mendaftarkan syarikat dengan ST dan mendapatkan Perakuan Pendaftaran sebagai Pengilang; 

iii) kabel yang diluluskan adalah kabel yang telah melalui proses pengujian dan mematuhi standard keselamatan seperti MS 2112-3 atau IEC 60227-3 dan MS 2112-4 atau IEC 60227-3; dan

iv) kabel pendawaian elektrik hendaklah mematuhi cara penandaan atau pelabelan yang telah ditetapkan oleh ST, iaitu dengan meletakkan tanda pensijilan SIRIM, piawaian dan saiz kabel serta nama syarikat pengilang.

c) Selain itu, ST dari semasa ke semasa sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis-premis yang mengimport, mengilang, menyimpan atau menjual kelengkapan elektrik yang dikawal selia ST untuk memastikan pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama, orang ramai boleh membuat aduan atau menyalurkan maklumat kepada ST melalui pelbagai kaedah seperti sistem eAduan ST, e-mel, surat, dan panggilan telefon sekiranya menemui kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi standard keselamatan yang dijual kepada umum.

d) Pemilik kedai-kedai logam dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah berikut bagi memastikan kabel pendawaian elektrik yang mematuhi piawaian keselamatan sahaja dijual kepada pengguna: 

i) memastikan pembekal menunjukkan Perakuan Kelulusan yang dikeluarkan oleh ST bagi setiap model kabel;

ii) menyemak tanda keselamatan yang dilabelkan dengan nama makmal, standard, saiz kabel dan nama pengilang pada kabel tersebut; dan 

iii) memaklumkan kepada pengguna bahawa kerja-kerja pendawaian elektrik hanya boleh dilakukan oleh individu pemegang sijil kompeten yang dikeluarkan oleh ST sahaja.

Sekian, terima kasih. ​
Attachments