Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 December 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan, Mineral

Nombor Soalan

89

Soalan

Minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan tindakan yang diambil berhubung dengan kegiatan pencerobohan hutan simpan dan perlombongan emas secara haram yang masih berlaku walaupun negara dilanda pandemik COVID-19.​

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

Kegiatan pencerobohan hutan simpan​​

1. Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, aktiviti penguatkuasaan hutan tetap diberi keutamaan oleh Kementerian ini terutamanya di kawasan hotspot dan berisiko tinggi berlakunya kes kesalahan hutan dengan mengamalkan norma baharu sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Semua kes kesalahan hutan boleh diambil tindakan perundangan termasuk pendakwaan di mahkamah di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

2. Berdasarkan laporan oleh Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri, sebanyak 108 kes pembalakan haram yang melibatkan sepenuhnya pencerobohan hutan telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 dan sedang diambil tindakan lanjut. KeTSA melalui JPSM, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam membanteras aktiviti penerokaan secara haram kawasan hutan seperti melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan, menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam aktiviti pemantauan.

Tuan Yang di-Pertua,

Perlombongan emas secara haram

3. Aktiviti penguatkuasaan Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) adalah terhad kepada operasi perlombongan di atas tenemen mineral yang dikawalselia di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM). Manakala aktiviti perlombongan haram di dalam hutan simpan adalah tertakluk kepada Akta Perhutanan Negara 1984.

4. Aktiviti perlombongan haram juga adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Mineral Negeri (EMN). Aspek pengurusan tanah dan tenemen mineral yang terletakhak kepada Kerajaan Negeri dimasukkan di bawah Enakmen Mineral Negeri (EMN). Namun pihak Kementerian melalui JMG dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM turut sering bekerjasama dengan agensi penguatkuasa Negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pentadbir Tanah Daerah (PTD) dalam aspek penguatkuasaan seperti penglibatan dalam operasi bersepadu agensi-agensi penguatkuasaan termasuk penguatkuasaan di hutan simpan.

Sekian, terima kasih.

Attachments