Tuan Yang di-Pertua
1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memandang serius isu pencerobohan hutan dan pembalakan haram. Kes-kes pembalakan haram sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri. Aktiviti penguatkuasaan hutan tetap diberi keutamaan oleh Kementerian ini terutamanya di kawasan hotspot dan berisiko tinggi berlakunya kes kesalahan hutan. Penjenayah yang ditangkap melakukan kegiatan pembalakan haram atau kesalahan hutan akan didakwa berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan Sarawak 2015 (Bab 71) dan Enakmen Hutan Sabah 1968 (Sabah No. 2 of 1968).
2. Berdasarkan laporan oleh Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri, sebanyak 108 kes pembalakan haram yang melibatkan sepenuhnya pencerobohan hutan telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 dan sedang diambil tindakan lanjut. KeTSA melalui JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam membanteras aktiviti penerokaan secara haram kawasan hutan seperti melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan, menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam aktiviti pemantauan.
3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KeTSA juga kini dalam proses untuk melaksanakan pindaan ke atas Akta 313 bagi memantapkan penguatkuasaan hutan serta meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan. Peningkatan kadar denda ini adalah sebagai satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan. Cadangan pindaan Akta 313 ini dijangka akan dibentang ke Parlimen pada tahun 2021.
Sekian, terima kasih.