Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 December 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

21

Soalan

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH BIN RAJA AHMAD​​ minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah-langkah Kerajaan bagi memastikan pencemaran alam sekitar tidak berlaku di kampung-kampung terpencil den​gan aktiviti-aktiviti perlombongan di kawasan luar bandar dan desa.



Jawapan

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi memastikan pencemaran alam sekitar tidak berlaku dan dapat dikawal melalui penguatkuasaan Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) dan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral berkaitan seperti berikut:

a) Penyediaan Skim Pengendalian Melombong (OMS), Pelan dan Buku Rekod 2007;

b) Efluen 2016; dan

c) Pengkompaunan Kesalahan 2019.

2. Penguatkuasaan oleh JMG meliputi semua lombong-lombong yang diluluskan di bawah APM 1994 tanpa mengambil kira kawasan luar bandar atau kampung terpencil. Namun begitu, penguatkuasaan ini tidak tertakluk bagi lombong-lombong yang diusahakan secara haram di mana tindakan terhadap aktiviti perlombongan haram adalah di bawah bidang kuasa pihak Kerajaan Negeri. 

3. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian melalui JMG turut sering bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan Negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Pentadbir Tanah Daerah (PTD) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam aspek penguatkuasaan seperti penglibatan dalam operasi bersepadu agensi-agensi penguatkuasaan. 

Sekian, terima kasih.

Attachments