Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 December 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

25

Soalan

Puan Asmak binti Husin minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan adakah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mempunyai persiapan dan kepakaran yang cukup bagi mendepani isu-isu geologi di Malaysia seperti perubahan iklim dan lain-lain.​

Jawapan

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mempunyai persiapan dan kepakaran yang cukup bagi mendepani isu-isu geologi di Malaysia yang berkaitan dengan perubahan iklim seperti tanah runtuh, tanah mendap, lubang benam, isu kemarau dan pencegahan kebakaran tanah gambut serta masalah jerebu.

2. JMG sebagai peneraju dalam bidang mineral dan geosains di Malaysia telah diberi kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi bidang dan sub-bidang laluan kerjaya Pakar Bidang Khusus (SME - Subject Matter Expert) bagi pegawai di skim Perkhidmatan Pegawai Geosains yang memiliki kepakaran yang tinggi di dalam bidang:

i) Penilaian Sumber Mineral;

ii) Penilaian Sumber Air Bawah Tanah;

iii) Penilaian Bencana Geologi;

iv) Pemetaan Geologi; dan

v) Geologi Marin

3. Fokus kepakaran JMG dalam menangani isu-isu perubahan iklim adalah seperti berikut:

i) Menyediakan maklumat dan khidmat kepakaran pembangunan sumber air bawah tanah bagi penyediaan bekalan air bersih di kawasan yang terjejas. JMG telah membina sebanyak 207 buah telaga tiub yang memberi manfaat kepada lebih 117,700 pengguna di seluruh Malaysia semasa RMKe-11;

ii) Menyediakan telaga tiub di kawasan tanah gambut yang terdedah kepada ancaman kebakaran bagi kegunaan agensi tindak balas bencana seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat. JMG telah membina 91 buah telaga tiub untuk kegunaan menghadapi ancaman kebakaran tanah gambut dan mengurangkan jerebu semenjak tahun 2009 hingga kini;

iii) Menyediakan maklumat risiko bencana geologi serta mengemaskini peta bahaya dan risiko tanah runtuh, peta bahaya seismik (gempa bumi) bagi kegunaan agensi tindak balas bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi-agensi teknikal yang berkaitan; dan

iv) Pelaksanaan program libat urus bersama agensi-agensi yang berkepentingan dalam memberi khidmat kepakaran geobencana melalui program kesedaran kepada komuniti khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana geologi.

4. KeTSA melalui JMG telah memohon peruntukan RMKe-12 sebanyak RM178.7 juta bagi melaksanakan projek-projek pengurangan risiko bencana geologi dan pembangunan sumber air bawah tanah sebagai persediaan menghadapi isu geologi di Malaysia akibat perubahan iklim.

5. JMG sentiasa bekerjasama pintar dengan beberapa agensi teknikal terkemuka luar negara seperti British Geological Survey (BGS), Korea Institute of Geoscience and Mineral (KIGAM) dan negara-negara serantau melalui kerjasama Coordinating Committee for Geoscience Program in East and Southeast Asia (CCOP) bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang geobencana. 

Sekian, terima kasih.

Attachments