Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 December 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

74

Soalan

Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah bin Raja Ahmad minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memastikan keluasan rezab hutan dan hutan simpan dikekalkan mengikut ketetapan yang telah ditentukan.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara. Daripada jumlah tersebut, keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah 10.92 juta hektar. 

2. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) yang berpandukan kepada Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992), Dasar Hutan Sabah 2018 dan Sarawak Forest Policy 2019. Perkara ini adalah selaras dengan komitmen negara terhadap ketetapan di bawah Forum Hutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests - UNFF). Di antara elemen-elemen utama yang diamalkan di bawah SFM adalah: 

i) Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi pengawalan terhadap pembukaan kawasan hutan untuk tujuan penghasilan;

ii) konsep pembalakan berimpak rendah (Reduce Impact Logging - RIL) bagi aktiviti pengusahasilan/pembalakan di Malaysia;

iii) pematuhan Kriteria dan Petunjuk Bagi Pengurusan Hutan Secara Berkekalan Malaysia (Malaysian Criteria and Indicator for Forest Management – MC&I) yang merupakan satu piawaian untuk Pensijilan Pengurusan Hutan secara berkekalan; dan

iv) pelaksanaan prosedur-prosedur lain yang ditetapkan mengikut wilayah masing-masing.​

3. Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan untuk meningkatkan Kawasan Perlindungan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2025. Sehingga tahun 2018, jumlah keluasan Kawasan Perlindungan di Sabah adalah seluas 1.9 juta hektar atau bersamaan dengan 25.8 peratus daripada keluasan tanah negeri. Kerajaan Negeri Sarawak melalui Dasar Guna Tanah Sarawak terus komited dalam mengekalkan kelestarian hutan dengan menetapkan seluas 6 juta hektar sebagai kawasan HSK dan 1 juta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Area – TPA). Sehingga tahun 2018, jumlah kawasan HSK dan TPA di Sarawak adalah seluas 4.21 juta hektar dan 816,071 hektar masing-masingnya.

Sekian, terima kasih.

Attachments