Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 December 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

79

Soalan

Tuan Haji Ahmad bin Yahya m​inta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan Kementerian dalam usaha untuk memastikan keluasan rizab hutan dan hutan simpan dikekalkan mengikut keluasan yang telah ditetapkan serta apakah bentuk imbuhan yang disediakan oleh Kerajaan bagi membantu negeri yang kehilangan hasil kerana mengekalkan hutan simpan demi memastikan bekalan air yang mencukupi.​​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai. Pada masa ini, Malaysia mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara. 

2. Dalam hubungan ini, antara langkah-langkah yang diambil bagi menjaga dan mengekalkan hutan-hutan simpan ini adalah seperti berikut:

i) melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] bagi memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang melibatkan proses pendengaran awam (public hearing) serta memantapkan penguatkuasaan hutan, meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan;

ii) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan hutan melalui Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot;

iii) melaksanakan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

iv) menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK;

v) memperkasa amalan pengurusan hutan berkekalan dengan membangun dan mengaplikasikan teknologi terkini dalam penguatkuasaan hutan bagi tujuan pemantauan perubahan kawasan hutan; dan

vi) menggunakan platform Majlis Tanah Negara (MTN) dan pematuhan CTT bagi pelaporan secara berkala berkenaan keadaan semasa HSK di setiap negeri.

3. Dalam hubungan ini juga, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2019 dan peruntukan ini telah diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Pada tahun 2021, sebanyak RM70 juta lagi telah diperuntukkan untuk EFT sebagai insentif tambahan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti. 

4. Di samping itu, KeTSA sedang membangunkan kerangka kewangan melalui mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD Plus). Kerangka kewangan REDD Plus (RFF) akan meningkatkan kerjasama di antara pihak swasta dan kerajaan-kerajaan Negeri dalam mengekal, memelihara, melindung dan mengurus hutan secara berkekalan. Dana yang disalurkan kepada kerajaan negeri adalah mengikut jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca daripada aktiviti perhutanan dengan harga Dolar US 5 ($5) bagi satu metrik tan karbon dioksida yang dikurangkan. 

Sekian, terima kasih.

Attachments